Lebih 4 juta rakyat terima manfaat Yayasan Hasanah

Lebih 4 juta rakyat terima manfaat Yayasan Hasanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbaki dua bulan sebelum dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney, Sarawak, Nazhan (bukan nama sebenar) mula memasang impian untuk membina kehidupan baharu.

Pemuda berusia 21 tahun itu bercita-cita melanjutkan pengajian ke universiti dan mendapatkan pekerjaan yang stabil, selain terus mengembangkan kemahiran menyulam keringkam yang dipelajarinya di institusi tersebut.

Ibunya merupakan antara individu paling gembira apabila mengetahui dia mempelajari seni sulaman warisan Sarawak itu.

“Ibu mahu tengok saya berjaya dan berharap saya tidak kembali kepada kehidupan lama,” katanya.

Kisah Nazhan hanyalah satu daripada ribuan kisah perubahan yang lahir menerusi pelbagai program dan inisiatif yang disokong Yayasan Hasanah.

Sepanjang sedekad lalu, lebih empat juta rakyat di seluruh negara telah menerima manfaat daripada 1,134 projek yang dilaksanakan yayasan itu dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, seni dan budaya serta kesejahteraan masyarakat.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusannya, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, pada tahun lalu sahaja, pihaknya menyokong 172 projek baharu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa komuniti di seluruh negara.

“Tugas kami bukan sekadar menyokong program, tetapi mewujudkan persekitaran yang membolehkan perubahan berlaku melalui kepercayaan, pembelajaran bersama komuniti dan kerjasama berterusan.

“Pada akhirnya, kejayaan diukur bukan pada tempoh komuniti bergantung kepada kami, tetapi sejauh mana mereka mampu bergerak ke hadapan dengan yakin dan berdikari,” katanya dalam majlis pelancaran Laporan Hasanah 2025 baru-baru ini.

Kata Siti Kamariah, tujuh kisah yang diketengahkan dalam laporan berkenaan menjadi bukti kejayaan, di samping membuka ruang untuk memahami realiti, cabaran dan aspirasi yang membentuk pemahaman Yayasan Hasanah mengenai erti kemajuan sepanjang sedekad lalu.

Setiap kisah memperlihatkan bagaimana perubahan berlaku secara berperingkat melalui kerjasama komuniti, sokongan rakan strategik dan usaha berterusan di lapangan.

Antaranya termasuk usaha pemulihan ekosistem pesisir pantai di Perak, peningkatan keterlibatan pelajar dalam pendidikan melalui bola sepak di Sabah serta pengukuhan aspek kesihatan, pendidikan dan mata pencarian di Pulau Omadal.

Sebagai perancangan masa depan, pihaknya komited untuk terus melabur dalam program, kerjasama dan idea baharu yang mampu memperkukuh asas kemajuan jangka panjang.

Ia termasuk usaha untuk kekal responsif terhadap perubahan yang dihadapi komuniti di seluruh negara, merangkumi perubahan sumber pendapatan, tekanan alam sekitar dan realiti masyarakat menua.

“Apabila komuniti berubah, cara kita menyokong mereka juga perlu berubah. Kami belajar yang kemajuan jarang mengikut satu pelan tetap.

“Peranan kami adalah untuk terus belajar bersama komuniti dan rakan kerjasama serta membuka ruang agar idea baik dapat berkembang dan memberi manfaat lebih besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×