PH kembali bermain teori konspirasi - Nur Jazlan - Utusan Malaysia

PH kembali bermain teori konspirasi – Nur Jazlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) didakwa kembali bermain teori konspirasi apabila cuba mengaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan secara berasingan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebaliknya berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat keputusan itu merupakan sebuah badan bebas yang tidak dipengaruhi mana-mana individu atau parti politik.

Sehubungan itu katanya, dakwaan bahawa Ahmad Zahid telah ‘campur tangan’ dalam perkara itu merupakan satu fitnah yang berniat jahat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa sekarang Pakatan Harapan (PH) dah kembali semula ke zaman teori konspirasi mereka. Dahulu mereka kata BN ada bawa 40,000 warga Bangladesh masa Pilihan Raya Umum (PRU), itu fitnah dan tidak betul tetapi mereka salahkan UMNO.

“Jadi apabila berlaku situasi sekarang (tarikh PRN berbeza), dan kebetulan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun pernah berkhidmat dibawah Datuk Zahid Hamidi dahulu, jadi mereka tuduh ada berlaku campur tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya SPR, Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor akan diadakan pada 27 Jun ini, manakala 7 Julai sebagai tarikh undi awal dan 11 Julai hari mengundi.

Sementara itu, penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada pada 18 Julai, dengan pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai manakala 1 Ogos merupakan hari mengundi.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai itu menasihati rakyat Johor dan Negeri Sembilan untuk membuat pilihan dengan bijak dan tidak terpengaruh dengan permainan politik kotor dimainkan segelintir pihak.

“Jangan percaya kepada teori-teori konspirasi seperti ini, sebaliknya tumpukan kepada fakta dan maklumat yang benar. Kepada rakyat Johor, buatlah keputusan dengan baik demi kesejahteraan hidup masa depan.

“Manakala buat rakyat Negeri Sembilan, kekacauan yang terjadi di negeri itu ketika ini tidak pernah berlaku sepanjang BN mentadbir negeri tersebut. Mungkin ada kelemahan dibawah pentadbiran kerajaan negeri terkini yang menyebabkan berlaku kemelut hari ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini