Himalaya Sports diiktiraf ISN, perkukuh keyakinan pengguna

Himalaya Sports diiktiraf ISN, perkukuh keyakinan pengguna

KENNY Low di Majlis Perasmian Himalaya Sports sebagai rakan strategik korporat ISN di Dewan Perdana ISN baru-baru ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKHADIMAH

BERMULA sebagai pengeluar gula-gula tempatan, Himalaya Sports kini muncul antara jenama Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan produk dipasarkan di lebih 10 negara.

Walaupun pasaran eksport kini menyumbang sekitar 70 peratus daripada keseluruhan jualan syarikat, Himalaya Sports tetap komited memperkukuhkan kedudukan di pasaran domestik yang dianggap sebagai asas utama perkembangan jenama. tersebut.

Dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat, syarikat sedang membangunkan kilang baharu di Tampin, Negeri Sembilan yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 10 kali ganda berbanding tahap semasa, sekali gus membuka ruang kepada peluasan pasaran global pada masa hadapan.

Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO, menemu bual Pengarah Urusan Himalaya Sports, DATUK KENNY LOW bagi mendapatkan pandangan mengenai perkembangan syarikat, peluasan pasaran antarabangsa, pembinaan kilang baharu serta cabaran dalam persekitaran ekonomi semasa.

UTUSAN: Himalaya Sports kini telah berkembang ke lebih 10 negara. Boleh kongsikan sumbangan pasaran domestik berbanding pasaran antarabangsa kepada keseluruhan jualan syarikat?

KENNY: Himalaya Sports diasaskan pada  2017 bagi mengisi kelompongan yang kami kenal pasti dalam pasaran iaitu keperluan atlet dan rakyat Malaysia yang aktif terhadap produk hidrasi semula yang pantas, berfungsi tinggi dan mudah dibawa ke mana sahaja. 

Kami melihat tiada produk tempatan ketika itu yang benar-benar memenuhi keperluan tersebut secara menyeluruh, justeru itulah titik tolak kelahiran Himalaya Sports.

Kira-kira 30 peratus jualan kami datang daripada pasaran domestik, manakala 70 peratus lagi disumbangkan oleh pasaran eksport.

Walaupun eksport menyumbang bahagian yang lebih besar, kami tetap memberi tumpuan kepada pasaran tempatan kerana Malaysia merupakan pasaran asal dan rumah kepada jenama Himalaya Sports. Justeru, pembangunan pasaran domestik sentiasa menjadi keutamaan syarikat.

Di Malaysia, produk kami dipasarkan menerusi pelbagai saluran termasuk kedai serbaneka, farmasi dan pasar raya bagi memastikan ia mudah diperoleh pengguna.

Bagi pasaran antarabangsa pula, kebanyakan eksport tertumpu di rantau Asia termasuk China, Hong Kong, Taiwan serta negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia.

 

Bagaimanakah Himalaya Sports melihat potensi pasaran bagi kategori produk ini di Malaysia dan rantau ASEAN?

Berdasarkan laporan Nielsen, Himalaya Sports kini merupakan jenama tempatan nombor satu dalam kategorinya di Malaysia.

Pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan. Kami percaya kedudukan nombor satu ini dicapai kerana dua faktor utama profil rasa yang unik dan manfaat produk yang nyata. 

Dibuat dengan Garam Himalaya asli, produk kami menawarkan kombinasi rasa yang berbeza daripada yang lain masin, manis, masam dan segar pudina yang memberikan pengalaman menyegarkan, sekali gus membantu mengekalkan tenaga fizikal pengguna. Ini bukan sekadar gula-gula biasa, ia adalah produk yang direka dengan tujuan yang jelas.

Kami bukan menghasilkan ubat, tetapi menghasilkan produk makanan yang memberi nilai tambah kepada pengguna, khususnya mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.

Bagi pasaran ASEAN, kami melihat masih terdapat ruang pertumbuhan yang besar. Namun, pembangunan pasaran memerlukan masa kerana setiap negara mempunyai keperluan dan corak penggunaan yang berbeza.

Setakat ini, prestasi di Singapura menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan.

Kami mendapati pengguna di negara yang lebih maju cenderung lebih aktif bersukan dan memberi perhatian terhadap aspek kesihatan. Mereka memerlukan produk yang membantu rehidrasi dan pengambilan gula yang sesuai untuk aktiviti harian.

 

Apakah perancangan syarikat untuk memperluaskan lagi pasaran antarabangsa? 

Himalaya Sports sememangnya mempunyai perancangan untuk memasuki lebih banyak pasaran pada masa hadapan.

Bagaimanapun, pada masa ini kami perlu menunggu pembinaan kilang baharu siap terlebih dahulu kerana kapasiti pengeluaran akan meningkat dengan ketara apabila kemudahan tersebut mula beroperasi.

Apabila kapasiti pengeluaran bertambah, kami akan mempunyai kemampuan untuk memenuhi permintaan daripada lebih banyak pasaran dan memasuki negara-negara baharu.

Kilang baharu itu terletak di Tampin, Negeri Sembilan dan pembinaannya baru sahaja dimulakan. la dibangunkan di atas tanah seluas 9.3 hektar dengan keluasan binaan kira-kira 500,000 kaki persegi.

Kapasiti pengeluaran dijangka meningkat antara lima hingga 10 kali ganda berbanding kapasiti semasa dan kami menjangkakan projek itu siap pada penghujung tahun hadapan.

Sebelum ini, kami menghasilkan pelbagai jenis gula-gula termasuk lolipop dan plum candy yang terdapat di pasaran. Malah, banyak produk yang dijual di pasar raya sebenarnya merupakan keluaran kami.

Ketika ini, operasi dijalankan di lebih 10 unit kilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berasingan di Tampin. 

Oleh itu, kami mengambil keputusan membina sebuah kilang yang lebih besar bagi menyatukan operasi serta meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran.

 

Himalaya Sports sering menekankan konsep produk mampu milik. Bagaimanakah syarikat mengekalkan harga produk dalam keadaan kos operasi yang semakin meningkat?

Memang benar hampir semua kos operasi meningkat dengan ketara ketika ini. Kos bahan pembungkusan, logistik dan pengangkutan terus meningkat. Banyak komponen yang kami gunakan juga berkait rapat dengan industri petroleum.

Sebagai contoh, bahan pembungkusan plastik diperbuat daripada produk berasaskan petroleum. Apabila harga petroleum meningkat, kos pembungkusan turut meningkat. Kenaikan kos diesel dan pengangkutan juga memberi kesan langsung kepada operasi syarikat.

Walaupun berdepan tekanan kos yang semakin tinggi, kami berusaha sedaya upaya mengawal harga produk supaya pengguna tidak menanggung beban yang terlalu besar.

 

Apakah peranan Himalaya Sports dalam kerjasama strategik bersama  Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini?

Sebagai rakan strategik korporat ISN, Himalaya Sports menyokong aspirasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diterajui ISN menerusi pelbagai inisiatif pembangunan sukan dan komuniti.

Kerjasama ini merangkumi program akar umbi, pendidikan sukan serta usaha menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Kami percaya kejayaan pembangunan sukan negara memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi sukan dan sektor swasta melalui pendekatan perkongsian awam-swasta (PPP).

 

Bagaimanakah pelantikan Himalaya Sports sebagai rakan strategik ISN dapat membantu memperkukuhkan jenama syarikat ketika bersaing dengan jenama antarabangsa?

Sebelum ini, ramai pengguna mengenali produk kami sebagai produk yang sesuai untuk aktiviti sukan dan gaya hidup aktif.

Namun, apabila jenama kami mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada ISN, ia memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada pengguna terhadap produk yang kami hasilkan. 

Kerjasama ini juga membantu memperkukuhkan kredibiliti jenama Himalaya Sports kerana ISN merupakan institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang sukan dan pembangunan atlet negara.

Apabila produk kami disokong oleh ISN, ia memberi nilai tambah yang besar kepada jenama kami.

Selain itu, sebelum ini banyak jenama yang mendapat sokongan atau pengiktirafan dalam bidang sukan terdiri daripada jenama antarabangsa.

Jadi, kami berbangga kerana Himalaya Sports merupakan jenama milik tempatan sepenuhnya yang dibangunkan dan dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Kerjasama ini memberi satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada kami dan diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran terhadap jenama Malaysia bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN