Jualan kipas, pendingin hawa meningkat susulan cuaca panas

Jualan kipas, pendingin hawa meningkat susulan cuaca panas

MOHD. SHAFIQ MOHD. ZAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan terhadap kipas dan pendingin hawa meningkat susulan cuaca panas yang melanda negara sejak ke­belakangan ini apabila pengguna mula mendapatkan peralatan penyejukan bagi me­ningkatkan keselesaan di rumah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jualan kipas mencatatkan peningkatan lebih ketara berbanding pendingin hawa berikutan harganya lebih murah.

Penolong Penyelia di sebuah kedai elektronik, Mohd. Shafiq Mohd. Zaini berkata, corak pembelian pengguna mula berubah selepas Aidilfitri apabila semakin ramai pelanggan mencari kipas dan pendingin hawa, khususnya ketika cuaca panas berpanjangan.

“Jualan pendingin hawa meningkat kira-kira 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun kipas kekal sebagai produk paling laris kerana kos pembeliannya lebih rendah dan lebih mudah digunakan.

“Peningkatan permintaan ini sudah mula kelihatan selepas Aidilfitri, tetapi kini ia menjadi lebih signifikan. Antara produk yang paling mendapat sambutan ialah kipas berdiri dan kipas meja.” katanya.

Pada 11 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan fenomena El Nino diramal bermula bulan ini dengan jangkaan meningkatkan risiko kemarau, gelombang haba dan kebakaran hutan.

Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang berkata, kemas kini dikeluarkan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menerusi Pusat Ramalan Iklim (CPC) pada 18 Mei lalu menunjukkan kebarangkalian kemunculan El Nino pada Jun hingga Ogos meningkat kepada lebih 80 peratus berbanding sekitar 60 peratus dalam ramalan terdahulu.

Mohd. Shafiq berkata, pi­haknya juga menjangka permintaan akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Bagi pengguna yang merancang membeli pendingin hawa, sebaiknya membuat pembelian lebih awal kerana proses pemasangan mungkin mengambil masa lebih lama apabila permintaan semakin tinggi.

“Ketika ini, pelanggan perlu menunggu antara seminggu hingga seminggu setengah untuk mendapatkan slot pemasa­ngan,” katanya.

Sementara itu, seorang promoter jualan, Azizi Banudin berkata, jualan kipas dilihat le­bih konsisten berbanding pen­dingin hawa kerana kebanyakan rumah memerlukan beberapa unit kipas untuk kegunaan ha­rian.

Katanya, pembelian pen­dingin hawa biasanya tertumpu kepada bilik tertentu sahaja, manakala kipas digunakan di pelbagai ruang dalam rumah, sekali gus menyumbang kepada permintaan yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×