NEW YORK: Elon Musk menjadi individu pertama di dunia yang mencapai nilai kekayaan AS$1 trilion (RM4.05 trilion) selepas saham syarikat roketnya, SpaceX, melonjak susulan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Wall Street.
Saham SpaceX meningkat lebih 19 peratus selepas mula didagangkan pada tengah hari Jumaat, mencerminkan keyakinan pelabur yang sanggup mengetepikan kerugian berbilion dolar yang ditanggung syarikat itu dan sebaliknya bertaruh pelaburan besar-besaran dalam satelit, pusat data orbit dan kecerdasan buatan (AI) akan membuahkan hasil pada masa depan.
SpaceX memulakan dagangan pada harga AS$150 (RM608) sesaham sebelum meningkat kepada sekitar AS$168 (RM681), dan menutup dagangan pada paras sedikit di bawah AS$161 sesaham (RM653).
Harga itu memberikan syarikat berkenaan nilai pasaran sebanyak AS$2.1 trilion, menjadikannya syarikat awam keenam terbesar di Amerika Syarikat (AS), malah lebih besar daripada satu lagi perniagaan utama miliknya, Tesla.
Melalui pegangan sahamnya dalam SpaceX dan Tesla, di mana beliau turut berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Musk kini dianggarkan memiliki kekayaan bernilai AS$1.1 trilion, menurut Forbes.
Musk berkata, SpaceX, yang diasaskan pada 2002, disenaraikan di pasaran saham ketika ini kerana memerlukan dana bagi membiayai cita-citanya menempatkan satelit dan pusat data di angkasa serta akhirnya mewujudkan koloni manusia di planet Marikh.
Beliau meraikan pembukaan dagangan di Nasdaq dengan menyertai upacara simbolik membunyikan loceng dagangan dari Starbase, pusat operasi SpaceX di selatan Texas.
Musk turut mengulangi matlamat besarnya untuk ‘menjadikan kehidupan merentas pelbagai planet’.
“Bukan hanya beberapa angkasawan, saya maksudkan secara literal anda.
“Siapa sahaja yang sedang menyaksikan ini, SpaceX mahu mampu membawa anda ke Bulan, membawa anda ke Marikh dan akhirnya ke destinasi yang lebih jauh lagi,” Elon Musk.
Pelabur institusi dan runcit sama-sama mengambil peluang membeli saham syarikat itu pada harga AS$135 sesaham sebelum dagangan bermula. Dana berjumlah AS$75 bilion yang berjaya dikumpulkan oleh SpaceX melalui IPO itu dengan mudah mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh Saudi Aramco pada 2019.
Selain sasaran mewujudkan koloni seramai sejuta penduduk di Marikh, syarikat itu turut berjanji untuk membantu memastikan kelangsungan manusia dengan membangunkan penempatan lain di angkasa lepas, melancarkan pusat data bersaiz padang bola sepak ke orbit serta mengatasi pesaing seperti Anthropic dan OpenAI dalam perlumbaan menjana keuntungan daripada kecerdasan buatan (AI).
Bagi mencapai matlamat tersebut, SpaceX memerlukan dana berbilion dolar lebih banyak daripada hasil semasa perniagaan roket dan satelitnya. Antara awal 2025 hingga 31 Mac 2026, syarikat yang secara rasmi dikenali sebagai Space Exploration Technologies Corp. itu merekodkan kerugian sebanyak AS$8.7 bilion.- AP










