PETALING JAYA: Ekuinas Nasional Berhad (Ekuinas) berjaya meningkatkan nilai ekuiti bumiputera kepada RM5.6 bilion atau 1.4 kali ganda modal dilaburkan, menurut syarikat itu.
Nilai Jumlah Pemegang Saham juga dipertingkatkan kepada RM7.0 bilion atau 1.8 kali ganda modal dilaburkan.
Nilai tersebut diumumkan sekali dengan keputusan kewangannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 yang turut menyaksikan beberapa kejayaan dapat dicapai Ekuinas sepanjang tahun itu.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, di peringkat global, terdapat penurunan mendadak dalam kegiatan ekonomi dan prestasi akibat pandemik.
“Itu ditambah dengan ketidaktentuan ekonomi sedia ada, dan dirumitkan dengan hubungan lemah antara ekonomi-ekonomi utama.
“Namun begitu, kami tetap melaksanakan mandat kami iaitu menyokong ekosistem secara keseluruhan dan juga masyarakat-masyarakat di Malaysia sambil membina prestasi syarikat portfolio kami,” katanya dalam kenyataan.
Raja Arshad menjelaskan, adalah amat penting bagi pihaknya menyegerakan pelaksanaan dan memudah cara strategi-strategi untuk masa hadapan seperti peningkatan operasi, penambahbaikan produk dan perkhidmatan agar syarikat portfolionya dapat menyesuaikan diri dengan landskap perniagaan yang berubah.
Semntara itu, Ketua Pegawai Operasinya, Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir berkata, secara keseluruhan, kegiatan ekuiti persendirian (PE) pada suku pertama menjunam kerana kegiatan atau keputusan ditangguhkan akibat sekatan perjalanan serta gangguan berikutan pandemik Covid-19 dan kekurangan sentimen dengan keyakinan yang menurun secara mendadak.
“Namun, gangguan yang ditimbulkan oleh pandemik itu tidak kekal lama dan industri PE menyaksikan pemulihan pesat.
“Dengan keadaan tersebut, kami mengatur strategi bagi tahun 2021 untuk mempersiapkan syarikat portfolio dan juga kami sendiri dalam menangani rintangan akan datang,” katanya.

Pada masa hadapan, Syed Yasir memberitahu fokus utama Ekuinas untuk tahun ini adalah untuk mempergiatkan pencarian peluang urus niaga dan pengurusan portfolio, sambil mengekalkan arah strategi korporat secara keseluruhan.
Jelasnya, pihaknya telah membina saluran urus niaga yang mantap merangkumi peluang pelaburan berpotensi yang berkualiti dan pelbagai serta akan terus menambah baik aliran transaksi melalui kriteria urus niaga yang diperluas, ditambah dengan penyelidikan dan rangkaian yang lebih baik.
“Kami sentiasa percaya adalah penting untuk mencapai nilai kewangan ke atas pelaburan-pelaburan kami bagi memastikan objektif sosial dapat dicapai secara lestari.
“Oleh itu, mandat dan prestasi kami akan kekal sebagai keutamaan, serta peranan kami dalam menggalakkan penjanaan kekayaan serta penglibatan ekonomi Bumiputera secara saksama dan mampan,” tambahnya.
Selain kejayaan meningkatkan nilai ekuiti bumiputera, Dana Langsung Ekuinas (Tranche II) turut mencatatkan Pulangan Kasar Portfolio sebanyak RM571.2 juta, menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) kasar tahunan sebanyak 11.9 peratus dan IRR bersih tahunan 8.2 peratus.
Bagaimanapun, Ekuinas Direct (Tranche III) Fund mencatatkan Kerugian Kasar Portfolio sebanyak RM75.4 juta, bersamaan dengan IRR kasar tahunan sebanyak negatif 3.2 peratus.
Pada tahun kewangan 2020 juga, Ekuinas telah melaksanakan pelaburan kumulatif dalam 42 syarikat dengan jumlah pelaburan RM4.4 bilion dan seterusnya menjana jumlah kemasukan modal bersama sektor swasta sebanyak RM5 bilion. – UTUSAN










