Skandal kertas undi cetus protes pelajar di Korea Selatan

Skandal kertas undi cetus protes pelajar di Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pelajar universiti di seluruh Korea Selatan akan mengadakan protes hari ini susulan kemarahan terhadap kekurangan kertas undi dalam pilihan raya tempatan baru-baru ini.

Data rasmi menunjukkan berpuluh-puluh pusat pengundian di seluruh negara mengalami kekurangan kira-kira 7,000 kertas undi pada hari pilihan raya 3 Jun.

Walaupun bekalan kertas undi akhirnya dipulihkan pada hari pengundian, insiden itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat di negara tersebut, yang turut menyaksikan peningkatan pengaruh dakwaan tidak berasas mengenai penipuan pilihan raya.

Pilihan raya tempatan itu merupakan undian seluruh negara yang pertama sejak Presiden Lee Jae Myung memegang jawatan selepas pemecatan bekas presiden konservatif, Yoon Suk Yeol, susulan pengisytiharan undang-undang tentera singkat pada akhir 2024.

Parti Demokratik Korea pimpinan Jae Myung yang berhaluan liberal memenangi sebahagian besar pertandingan dalam pilihan raya datuk bandar, pegawai kerajaan tempatan dan ahli dewan, namun gagal merampas kerusi penting Datuk Bandar Seoul.

Ketua badan pemantau pilihan raya meletakkan jawatan berhubung isu kekurangan kertas undi tersebut, namun pihak berkuasa tidak menawarkan untuk mengadakan pilihan raya semula, sekali gus mencetuskan protes besar pada hujung minggu.

Kesatuan pelajar di 18 universiti berkata, mereka akan mengadakan demonstrasi baharu bermula pukul 6 petang pada Rabu.

“Kami bertekad untuk membantah kerana orang ramai secara umum marah tanpa mengira fahaman politik,” kata Hwang In-seo daripada majlis pelajar Universiti Yonsei University kepada AFP.

Penganalisis berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, sebuah badan berperlembagaan dengan pengawasan luar yang terhad, sekian lama berdepan jurang dalam disiplin dalaman serta mekanisme semakan.

Mahkamah Seoul minggu ini mengarahkan bukti daripada pusat pengundian yang terjejas di ibu negara itu dipelihara untuk siasatan, manakala media tempatan melaporkan pihak pendakwa raya dan polis telah bersetuju menubuhkan pasukan siasatan bersama.

Bukti tersebut termasuk peti undi dan rakaman CCTV, menurut seorang wakil Mahkamah Daerah Timur Seoul kepada AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×