MAHB, syarikat Turki bekerjasama - Utusan Malaysia

MAHB, syarikat Turki bekerjasama

LTSAAS masih menjadi nadi kepada pengangkutan udara di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bekerjasama dengan Teknopark Istanbul (TI) bagi membawa inovasi dan pengurusan teknologi ke Subang Aerotech Park.

Usaha itu juga adalah untuk memenuhi aspirasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) menjadi hab penerbangan dan aeroangkasa pilihan di Asia Pasifik.

Ketua KLIA Aeropolis Malaysia Airports, Randhill Singh berkata, TI telah membuktikan rekod prestasi mereka menerusi kejayaan di Turki.

“Pelan regenerasi LTSAAS akan menerajui transformasi dengan membina infrastruktur yang menjamin masa hadapan, memudahkan inovasi dan mewujudkan ekosistem untuk menghasilkan pekerja yang berpengetahuan serta taraf hidup yang lebih tinggi.

“Usaha sama dengan TI itu akan membantu industri aeroangkasa tempatan berhubung secara menyeluruh untuk pertumbuhan ekonomi, perkembangan teknologi dan daya saing global,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, ia juga akan memberi tumpuan kepada aeroangkasa dan teknologi generasi baharu seperti robotik, analisis data, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI).

Tambahnya, ia turut memberi peluang kepada MAHB untuk meneroka potensi gabungan LTSAAS-TI dan memaksimumkan sinergi yang akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak.

MAHB akan bekerjasama dengan TI untuk membangunkan rangka kerja bersama bagi perkembangan industri dan teknologi melalui pertukaran pengetahuan mengenai model amalan baik.

Selain itu, akan ada juga usaha untuk mempermudahkan penggabungan teknologi dan kemajuan ekosistem aeroangkasa dan penerbangan.

Sementara itu, Pengurus Besar TI, Bilal Topcu berkata, kerjasama dengan MAHB akan berfungsi sebagai jambatan pertukaran teknologi dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan MAHB yang telah memberi peluang baharu untuk bekerjasama antara negara,” katanya.

TI telah menyumbang dalam pengembangan ekosistem inovasi Turki dan penciptaan inovasi persekitaran yang dinamik untuk pengusaha tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×