Nisbah pinjaman tidak berbayar dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Nisbah pinjaman tidak berbayar dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) dijangka meningkat apabila tempoh moratorium atau bantuan bantuan bayaran pinjaman bersasar tamat, terutamanya dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peminjam runcit.

Sehubungan itu, kata Ketua Perkhidmatan Penstrukturan Semula Deloitte Malaysia, Khoo Siew Kiat, risiko pinjaman tertunggak yang lebih tinggi meletakkan lebih tekanan kepada kebolehuntungan bank walaupun secara umumnya bank-bank di Malaysia mempunyai tahap modal yang baik dengan kadar NPL dan kos kredit yang rendah serta penimbal modal yang mencukupi.

Kata beliau, walaupun bank-bank di Malaysia telah menyediakan peruntukan kerugian pinjaman tambahan untuk menangani penyusutan kualiti aset pinjaman, kesan sebenar risiko kredit akibat pandemik masih belum muncul.

“Pengajaran dari krisis terdahulu menunjukkan bahawa bank yang mengambil keputusan berani dan sukar awal, menyelesaikan masalah dengan pantas dan tegas ketika dalam krisis akan pulih serta lebih maju berbanding pesaingnya.

“Bank yang berusaha mengemudi ketidaktentuan pasaran untuk pulih dan berdaya maju dalam keadaan norma baharu kini akan mencapai prestasi tinggi dengan mengambil langkah segera untuk mengelakkan kesan negatif jangka panjang pandemik,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Kebanyakan bank sebelum ini bersetuju untuk melanjutkan bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar kepada pelanggan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sehingga 31 Disember ini.

Walau bagaimanapun, masih banyak desakan dibuat supaya bank menyediakan bantuan bayaran balik pinjaman secara pukal dan automatik demi membantu rakyat yang rata-rata dalam kesempitan kewangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Siew Kiat berkata, strategi pemulihan tidak seharusnya mengganggu bank daripada menjalankan perniagaan terasnya namun diusahakan dengan kesejajaran operasi yang ketat bersama bantuan bakat dalaman dan penasihat profesional dengan set kemahiran yang pelbagai.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan lima langkah yang boleh diambil pihak bank bagi menangani risiko yang timbul akibat pandemik Covid-19.

Ia termasuk penjualan portfolio aset bukan teras; penilaian semula kualiti aset strategik; pengoptimuman kunci kira-kira; pengurusan aset bukan teras dan strategi tolak risiko (de-risk).

“Akhirnya, walau apa strategi yang dijalankan, bank yang mengambil lebih banyak pendekatan proaktif akan kekal di hadapan pesaingnya dan seterusnya berada pada landasan tepat untuk pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×