PETALING JAYA: Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menafikan dakwaan bahawa Pengerusi Serba Dinamik Holdings Berhad, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed ada berhubung dengan pihak mereka, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar digital semalam.
Bursa Malaysia dalam kenyataannya berkata, pada ketika ini, amat penting untuk Serba Dinamik mengambil langkah diperlukan untuk melantik penilai bebas segera bagi menangani ketidaktentuan dan menentukan kebenaran perkara yang dibangkitkan juruaudit luarannya.
“Untuk itu, Bursa Malaysia telah mengeluarkan pertanyaan kepada Serba Dinamik bagi mendapatkan kemas kini status dan jangka waktu berkenaan pelantikan penilai bebas,” katanya.
Sementara itu, SC menegaskan, penyiasatan terhadap Serba Dinamik masih berjalan dan menafikan pihaknya ada berhubung dengan Mohamed Ilyas.
Suruhanjaya itu turut membangkitkan kepentingan untuk membenarkan juruaudit melaksanakan tanggungjawabnya dan menyampaikan pendapat bebasnya dengan jujur dan adil serta melepaskan tugasnya tanpa sebarang tindak balas, seperti yang dimaklumkan Lembaga Pemantauan Auditnya.
Katanya, juruaudit juga perlu menjalankan keraguan profesionalnya ketika proses audit dan sentiasa mengamalkan Standard Audit Antarabangsa seperti yang digunakan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“SC mahu memaklumkan bahawa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, juruaudit mempunyai kewajipan statutori untuk segera membuat laporan kepada SC jika mereka mempunyai alasan untuk percaya bahawa wujud perkara yang memungkinkan berlakunya pelanggaran atau kegagalan melaksanakan apa-apa keperluan dalam undang-undang sekuriti, peraturan bursa saham atau apa-apa perkara yang memberi kesan sehingga tahap material kepada kedudukan kewangan syarikat yang tersenarai,” katanya.
Menurut laporan sebuah akhbar digital semalam, Mohamed Ilyas mendakwa telah berhubung dengan Bursa Malaysia dan SC ketika menjelaskan kedudukan syarikat itu dengan juruaudit luarannya, KPMG PLT dalam sidang akhbarnya kelmarin.
“Saya ada semua maklumat, saya telah bercakap dengan SC dan saya telah bercakap dengan Bursa,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.
Mohamed Ilyas dilantik sebagai Pengerusi Serba Dinamik minggu lalu, dua hari selepas beliau dan dua individu dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas syarikat itu.
Kelmarin, Serba Dinamik mengumumkan telah mengeluarkan tuntutan sivil terhadap KPMG atas dakwaan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori. – UTUSAN










