TEHERAN: Ribuan pelaut yang terperangkap di Selat Hormuz bergelut dengan tekanan dan masalah kesihatan di dalam kapal yang kini berada di tengah-tengah zon peperangan.
Kawasan Teluk itu sememangnya tidak lagi berada dalam keadaan normal dengan keperluan pelaut semakin mendesak selepas mereka terperangkap lebih tiga bulan di kawasan itu.
Kapten Khan merupakan salah seorang daripada kira-kira 20,000 pelaut yang kini dilaporkan terperangkap berhampiran Selat Hormuz ekoran krisis peperangan antara pakatan Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan pihak Iran yang meletus sejak akhir Februari lalu.
BERGELUT MENTAL FIZIKAL
Laluan laut yang suatu ketika dahulu merupakan antara laluan paling sibuk di dunia menguruskan satu perlima daripada bekalan eksport minyak dan gas global, kini lumpuh sepenuhnya ketika peluru berpandu melintasi ruang udara manakala periuk api pula mula dipasang di bawah permukaan air.
“Sangat pelik apabila melihat keadaan di luar kelihatan sangat normal, tetapi emosi orang di dalam kapal pula tidak tenang,” luah pelaut warga Pakistan tersebut yang terpaksa menyembunyikan identiti sebenar beliau.
Meskipun berdepan ancaman, kru di dalam kapal Kapten Khan tetap cuba meneruskan rutin kerja harian seperti biasa.
Bagaimanapun, tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang sanggup meninggalkan kapal untuk mengambil peluang berehat di darat yang jarang-jarang sekali dibenarkan penganjur.
Suasana ceria dan gurau senda yang dahulunya mewarnai kapal kini digantikan dengan kesunyian yang penuh dengan rasa bimbang, selain diganggu oleh bunyi deringan telefon.
Malah, ada dalam kalangan pelaut yang dilaporkan mudah tersentak atau terkejut walaupun dengan bunyi yang paling kecil, termasuk ketika mereka sedang tidur.
“Tekanan ini sentiasa berada dalam fikiran kami pada setiap masa. Semua orang berada dalam keadaan yang sangat letih, sama ada dari segi fizikal mahupun mental,” jelas Kapten Khan.
Selain daripada bahaya yang dicetuskan oleh ancaman peluru berpandu dan periuk api, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menganggarkan terdapat sekitar 1,600 buah kapal kini terperangkap di laluan yang salah di Selat Hormuz dan langsung tidak berupaya untuk keluar dari kawasan terbabit.
Sekurang-kurangnya 11 pelaut terbunuh manakala seorang lagi masih hilang dalam 39 insiden yang disahkan.
Selang beberapa hari selepas peperangan bermula, pihak Iran bertindak menutup laluan air yang sempit itu iaitu satu-satunya laluan keluar dari Teluk dan enggan membenarkan mana-mana kapal melaluinya tanpa mendapat kebenaran khas daripada mereka.
“Situasi ini seumpama kami sedang terperangkap di dalam sebuah kolam. Hanya ada satu sahaja jalan keluar dan jalan itu adalah Hormuz,” jelas kapten bagi sebuah kapal lain, Shafiqul Islam.
Shafiqul yang mengemudikan kapal milik Bangladesh, Banglar Joyjatra membawa muatan sekitar 37,000 tan baja yang dijadualkan untuk dihantar ke Afrika Selatan dan sudah cuba untuk keluar dari kawasan itu sebanyak dua kali sepanjang dua bulan lalu.
Selepas pengumuman gencatan senjata pada 8 April, dia mendapat tahu sebuah lagi kapal diberikan kebenaran oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) untuk melintasi kawasan itu.
Dia kemudian mengemudi kapalnya menuju ke laluan perairan penting tersebut bersama empat kapal lain. Namun, tidak lama kemudian mereka diberi amaran supaya tidak meneruskan perjalanan.
“Sembilan hari kemudian, kami mencuba sekali lagi selepas Iran menyatakan selat itu akan dibuka sepenuhnya kepada semua kapal perdagangan selaras dengan pelaksanaan gencatan senjata.
“Namun, Iran segera membatalkan keputusan itu selepas AS terus mengekalkan sekatan terhadap pelabuhannya.
“Ketika itu, kapal kami sudah pun berada kira-kira 30 batu nautika dari selat berkenaan. Kami tidak mempunyai pilihan selain mengubah haluan kapal selepas amaran mengenai serangan terus berkumandang menerusi radio,” katanya.
HARGA BEKALAN MENINGKAT
Kapal-kapal terpaksa beralih ke pelabuhan lain atau berlabuh di luar pesisir di kawasan Teluk demi keselamatan.
Namun kini, mendapatkan bekalan makanan dan air semakin menjadi keperluan mendesak dengan barangan keperluan asas, harga bagi bekalan air juga dilaporkan mencatatkan peningkatan mendadak.
Perkara itu masih boleh dilakukan tanpa perlu memasuki pelabuhan kerana rantau Teluk khususnya sekitar Dubai, Abu Dhabi dan Kuwait mempunyai perkhidmatan bekalan mencukupi. Bagaimanapun, penghantaran bekalan kini menjadi semakin tidak menentu.
Menurut ketua jurutera kapal Banglar Joyjatra, Rashedul Hasan, pihaknya terpaksa membeli sekitar 180 tan bekalan air untuk kegunaan kapal dengan kos mencecah AS$11,000 (RM43,723) dua hari lalu, berbanding kadar asal yang biasanya hanya menelan kos antara AS$1,500 (RM5,962) hingga AS$2,000 (RM7,950) sahaja.
“Rasanya ada juga pembekal makanan dan air yang cuba mengambil kesempatan daripada situasi ini untuk mengaut keuntungan berlebihan,” kata seorang pelaut Korea Selatan yang enggan namanya didedahkan. Dia berada di kapal lain.
Kapal-kapal yang terkandas dijangka memerlukan lebih banyak bekalan air apabila musim panas tiba. Suhu udara sudah melebihi 30 darjah Celsius pada Mei dan dikhuatiri meningkat sehingga 45 darjah Celsius.-AGENSI










