Trump kurangkan tarif peralatan pertanian kepada 15 peratus

Trump kurangkan tarif peralatan pertanian kepada 15 peratus

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini menandatangani perintah eksekutif untuk mengurangkan tarif ke atas peralatan pertanian, menurut Rumah Putih.

Langkah itu diambil ketika sektor pertanian dan pembuatan berdepan tekanan peningkatan kos susulan konflik di Asia Barat, yang dicetuskan oleh AS serta sekutunya, Israel.

Di bawah perintah itu, kadar duti ke atas jentera seperti mesin penuai serta beberapa peralatan lain diturunkan daripada 25 peratus kepada 15 peratus.

Rumah Putih dalam helaian fakta memaklumkan syarikat asing turut boleh layak menerima kadar duti 10 peratus sekiranya peralatan pembuatan mereka mengandungi sekurang-kurangnya 85 peratus keluli atau aluminium dari AS.

Perubahan tersebut akan berkuat kuasa pada 8 Jun dan berlangsung sehingga 31 Disember 2027.

Para petani menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kos menjelang pilihan raya pertengahan penggal, dan turut berdepan tekanan tambahan akibat perang di Asia Barat apabila harga diesel dan baja melonjak naik.

Serangan AS–Israel yang menyasarkan Iran sejak akhir Februari mencetuskan tindakan balas Teheran yang hampir menyekat Selat Hormuz.

Laluan perairan strategik itu biasanya menyaksikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas dunia melalui kawasan berkenaan, selain turut menjadi laluan penting bagi perdagangan baja global.

Sekatan tersebut turut mendorong kenaikan harga aluminium kerana ia merupakan laluan utama bagi penghantaran dari Asia Barat.

“Keadaan semasa baru-baru ini menjejaskan industri domestik yang menggunakan peralatan pertanian, peralatan industri dan jentera, serta produk berkaitan lain,” menurut perintah Trump bertarikh 1 Jun.

Ia merupakan pelarasan terbaharu terhadap tarif keluli dan aluminium oleh Trump, selepas syarikat-syarikat membantah peraturan yang dianggap membebankan.

Secara umum, tarif AS ke atas keluli, aluminium dan tembaga berada pada paras 50 peratus.

Pada April, Trump mengurangkan tarif ke atas produk yang didapati mengandungi jumlah besar logam berkenaan kepada 25 peratus, dengan mengenakan tarif ke atas nilai penuh produk tersebut, bukan hanya nilai logam yang terkandung, dalam usaha memudahkan sistem.

Selain peralatan pertanian, perintah terbaharu Trump itu turut menyatakan kadar 15 peratus yang lebih rendah akan turut dikenakan ke atas sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) tertentu yang digunakan terutamanya untuk kediaman.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×