KOTA TINGGI: Malaysia sedang meneliti beberapa syarikat pengeluar bagi menggantikan bekalan peluru berpandu yang gagal dipatuhi syarikat Norway selepas negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarikat negara yang sedang diteliti termasuklah dari Itali, Perancis, Turki, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
Bagaimanapun katanya, Malaysia akan melihat sama ada bekalan berkenaan telah tersedia terlebih dahulu bagi memastikan tempoh menunggu tidak terlalu lama.
“Peluru berpandu ini perlu ditempah, tetapi masalahnya tempahan baharu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk siap. Mungkin AS tengah buat untuk kapal-kapal mereka, Itali juga tengah buat, jadi kalau ada saya hendak minta dahulu.
“Jadi kapal yang kita akan dapat Disember ini akan ada sistem peluru berpandu surface to surface. Peluru yang mampu tembak jarak jauhnya 300 kilometer, itu yang kita hendak,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, di sini hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, pihaknya akan turut melihat aspek integrasi selain harga yang ditawarkan syarikat-syarikat berkenaan sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Katakanlah negara-negara itu sudah ada peluru berpandu dan sedang dalam production, kemudian integrasi boleh dibuat jadi itu sangat sesuai, tetapi kena juga tengok pada harga.
“Kita tidak boleh hendak tempah baharu kerana akan perlu menunggu lama, itu tak boleh, kita mahu yang sedang dalam production,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu tindakan tuntutan dan saman terhadap syarikat dari Norway atas kegagalan mereka mematuhi kontrak akan diteruskan.
“(Norway mohon maaf) Maaf, maaflah. Tetapi tuntutan tetap kita buat. Saman tetap saman, saman pada syarikat itu. Tetapi jika Norway betul-betul mahu jaga persahabatan dengan Malaysia, mereka boleh bantu dan dahulukan tuntutan wang lebih RM1 bilion.
“Kos peluru berpandu itu lebih RM600 juta, kemudian kos-kos tidak langsung lain seperti latihan, integrasi sistem dan lain-lain, semua itu melibatkan kos jadi siapa yang akan tanggung disebabkan kegagalan mereka,” katanya.-UTUSAN.










