Sikap punca sampah cemari LTU Kechau-Merapoh

‘Banyak kes buang sampah di lebuh raya berlaku ketika kenderaan bergerak, malam’

PETUGAS pembersihan menjalankan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan rehat dan bahu jalan sepanjang Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Kechau-Merapoh di Lipis, Pahang. – IHSAN SWCORP PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tabiat membuang sampah dari kenderaan di sepanjang Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Kechau-Merapoh di Lipis, dekat sini mencemarkan imej lebuh raya berkenaan yang berulang setiap kali musim perayaan.

Pelbagai usaha dilaksanakan termasuk penguatkuasaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sejak 1 Januari lalu, namun sikap tidak bertanggungjawab itu sukar dibendung.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, tabiat membuang sampah dari kenderaan ketika bergerak, menyukarkan pelaksanaan penguatkuasaan, memandangkan laluannya panjang dan banyak kes berlaku pada waktu malam.

“Pelbagai tindakan pencegahan dilaksanakan seperti program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penempatan tong sampah di lokasi hotspot, kempen kesedaran awam dan tindakan penguatkuasaan, tetapi sikap pengguna yang tidak cakna menyebabkan amalan pembuangan sampah terus berlaku.

“Kerajaan negeri menyediakan kemudahan hentian rehat sementara dan menambah tong sampah di lokasi strategik, namun kemudahan ini belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Cairul Hisham berkata, SWCorp turut melaksanakan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berfokus di kawasan hotspot terutama sepanjang musim perayaan.

Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan setiap hari kepada individu dikesan melakukan kesalahan membuang sampah merata-rata.

Mengenai cadangan menempatkan petugas di lokasi hotspot katanya, pendekatan itu tidak efektif dari segi liputan kawasan selain berdepan kekangan sumber manusia.

“Pendekatan bersepadu terus diperkukuh melalui operasi khas berkala, penambahbaikan kemudahan di lokasi strategik dan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan isu ini ditangani dengan berkesan,” katanya.

Kerja pembersihan di kawasan terjejas dilaksanakan menerusi program CSR oleh AFSB semalam bagi memastikan laluan tersebut kembali bersih. Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, tabiat membuang sampah di LTU

Kechau-Merapoh seolah-olah sukar dikikis pengguna jalan raya itu yang masih melakukan perbuatan buruk berkenaan setiap kali musim perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN