PASIR MAS: Seorang tukang cat terkejut melihat keadaan ngeri bahagian lengan kanan anaknya yang putus dan berlumuran darah tersangkut di depan sebuah kereta selepas terlibat kemalangan di Jalan Lubok Gong-Jeram Perdah, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Muhammad Luqman Zurul Azli, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motor Honda EX5 yang ditunggangnya bertembung dengan kereta Honda Jazz.
Bapa mangsa, Zurul Azli Awang, 48 berkata, anaknya yang merupakan seorang penganggur keluar dari rumah selepas solat asar dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 4.45 petang bersama rakan-rakannya pada petang hari pertama Hari Raya Aidiladha.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakannya kira-kira 15 minit kemudian yang memaklumkan Muhammad Luqman terlibat kemalangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, saya terkejut melihat bahagian lengan kanan anak tersangkut di depan kereta jenis Honda Jazz dipandu seorang lelaki.
“Muhammad Luqman pula sudah meninggal dunia dengan keadaan bahagian lengannya putus dan kecederaan parah badan,” katanya di Kampung Gual Sitok di sini, semalam.
Zurul Azli berkata, nahas yang mengorbankan anaknya itu menyebabkan majlis persandingan dua pasangan pengantin iaitu ibu dan bapa saudara kepada Muhammad Luqman yang sepatutnya berlangsung semalam dibatalkan bagi menghormati kematian Allahyarham.
Sementara itu, ibu mangsa, Liza Ariffin, 44, berkata, anaknya sempat meminta RM5 untuk membeli air sebelum keluar beraya dengan menunggang motosikal bersama rakan-rakan.
Katanya, arwah Muhammad Luqman yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu menunjukkan perubahan sikap sebelum kemalangan apabila menolak untuk memakai baju berwarna sedondon pada majlis perkahwinan ibu dan bapa saudaranya.- UTUSAN










