PETALING JAYA: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) merekodkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) lebih tinggi kepada RM141.25 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022, meningkat 91 peratus berbanding RM73.84 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Perolehan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM1.06 bilion berbanding RM1.05 bilion dalam tempoh sama sebelumnya.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, di sebalik fasa penutupan atau lockdown yang dikuatkuasakan, kumpulan tetap menunjukkan pemulihan kukuh bagi suku pertama tahun ini.
“Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.
“Justeru, pihak Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim pertama bernilai 1.5 sen sesaham,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh sama, perbelanjaan pengiklanan (adex) mencatat pemulihan dengan pertumbuhan sebanyak 21 peratus dari tahun ke tahun kepada RM109 juta, mengungguli pertumbuhan industri pengiklanan yang berkembang pada kadar sembilan peratus.
Ia disokong oleh program-program vernakular yang bersiaran secara langsung dan rancangan Astro Originals yang amat menarik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan memaklumkan, kumpulan terus melaksanakan strategi yang dirancang dan setakat ini telah memperkenalkan dua platform perkhidmatan penstriman iaitu sooka yang menyajikan acara sukan berprestij secara langsung dan Disney+ Hotstar yang menawarkan kandungan menarik pada nilai berpatutan.
“Sehingga hari ini, Ultra dan Ulti Box kami telah berada di lebih dari 300 ribu rumah dan menawarkan pengalaman tontonan terhebat buat para pelanggan kami.
“Dalam pada itu, Astro GO, terus mempertingkatkan perkhidmatannya menerusi pra-akses dan ciri muat turun, kini merekodkan sebanyak 1.4 juta pengguna aktif pada setiap bulan dengan kadar purata tontonan selama 213 minit pada setiap minggu,” jelasnya.
Tambah beliau, jumlah tontonan video di platform On Demand yang distrim pelanggan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 100 juta.
“Perkhidmatan jalur lebar kami terus merekodkan pertumbuhan lebih dari 80 peratus tahun ke tahun, apabila ramai di antara pelanggan kami yang menggabungkan pakej jalur lebar bersama kandungan yang ditawarkan bagi mendapat lebih nilai dan memudahkan urusan masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN










