Serba Dinamik fail tuntutan sivil terhadap KPMG - Utusan Malaysia

Serba Dinamik fail tuntutan sivil terhadap KPMG

SERBA DINAMIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serba Dinamik Holdings Berhad memfailkan tuntutan sivil terhadap juruaudit luarannya, KPMG PLT atas dakwaan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

Syarikat minyak dan gas itu berkata, KPMG dalam proses auditnya telah membangkitkan masalah dalam mendapatkan pelbagai pengesahan daripada pelanggan dan pembekal Serba Dinamik berkenaan pelbagai jenis bayaran dan hutang, termasuk dalam menentukan kewujudan pelanggan dan pembekal tersebut.

Katanya, perkara berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat khas Lembaga Pengarahnya pada 3 Mei lalu, yang mana KPMG menunjukkan keengganan untuk melengkapkan audit tersebut melainkan semakan bebas pihak ketiga dilaksanakan terhadap dakwaan dapatan yang dibangkitkan mereka.

“Sementara Serba Dinamik menghargai bahawa perkara ini dibangkitkan KPMG sebelum menyelesaikan laporan audit mereka, ia boleh diselesaikan oleh KPMG sendiri tanpa perlu melibatkan semakan bebas pihak ketiga.

“Kami turut mengambil maklum bahawa keseluruhan proses pengesahan audit yang diambil KPMG tidak mematuhi protokol antarabangsa dan tempatan, seperti tidak melibatkan libat urus mencukupi antara KPMG dengan Serba Dinamik, yang merupakan kesilapan besar di pihak KPMG,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Menurut Serba Dinamik, isu melibatkan pihaknya dengan KPMG telah menimbulkan banyak spekulasi dalam pasaran dan antara lain, ia menyebabkan saham dan permodalan pasaran Serba Dinamik menjunam teruk.

Serba Dinamik mendakwa, antara kesilapan yang dilakukan KPMG dalam laporan auditnya termasuk menyimpulkan beberapa individu yang menandatangani pengesahan audit bagi pihak syarikat mereka, yang didakwa sebagai pelanggan dan pembekal Serba Dinamik, tidak wujud berdasarkan panggilan yang dibuat kepada syarikat-syarikat tersebut bagi pengesahan identiti.

Walau bagaimanapun, pegawai kanan syarikat terbabit telah mengesahkan kewujudan individu tersebut dan tiada tindakan lanjut diambil oleh KPMG.

Selain itu, KPMG turut melakukan lawatan tapak bagi mengesahkan kewujudan pejabat salah satu pembekal di Timur Tengah dan menyimpulkan bahawa pejabatnya tidak wujud.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, Serba Dinamik dengan segera memaklumkan KPMG bahawa punca mereka tidak menemui pejabat tersebut adalah kerana alamat yang diberikan mempunyai digit dan huruf Arab yang disalah tafsir oleh pengaudit dan mereka telah pergi ke alamat yang salah.

“Bukti alamat yang betul telah diberikan Serba Dinamik namun KPMG menolak untuk mengesahkannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×