PETALING JAYA: Kumpulan KPJ mempunyai 16 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sedang beroperasi memberikan vaksin kepada kira-kira 4,000 orang sehari.
Ia menjadikan KPJ penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar yang menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerajaan.
Menurut KPJ, lebih 6,000 sudah divaksin di PPV KPJ sejak Mac lalu dan menjelang akhir Jun ini, KPJ akan mempunyai 21 PVI yang mampu memberi vaksin kepada lebih 6,000 orang sehari.
“Ini adalah kira-kira empat peratus daripada 150,000 vaksinasi harian yang telah disasarkan untuk seluruh negara. Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, KPJ mempunyai keupayaan untuk membri vaksin kepada lebih 10,000 orang sehari jika diperlukan.
“Sebagai inisiatif masa depan, KPJ sedang meneroka peluang untuk menyediakan suntikan vaksin secara persendirian, selain program kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Ahmad Shahizam Mohd. Shariff dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 secara maya berkata, pihak pengurusan telah bertindak balas dengan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan impak pandemik, termasuk langkah mengoptimumkan kos di seluruh organisasi yang dicapai melalui pendigitalan dan memanfaatkan teknologi.
Jelasnya, KPJ menghasilkan prestasi kewangan berdaya tahan pada 2020 dengan margin jumlah susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut sedikit kepada 22.5 daripada 23.4 peratus tahun sebelumnya.
“Walaupun melalui tempoh yang mencabar, namun tiga dividen interim telah diisytihar dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak 1.2 sen sesaham yang mewakili nisbah pembayaran 46 peratus daripada keuntungan bersih Kumpulan,” katanya.
KPJ mengendalikan 28 buah hospital di Malaysia, dua hospital di Indonesia dan masing-masing sebuah di Bangladesh dan Thailand. KPJ juga mempunyai sebuah Pusat Penjagaan Secara Ambulan terletak di Taiping, Perak.
Dengan 1,322 tenaga pakar perubatan yang dimiliki olehnya, KPJ mampu merawat lebih 2.9 juta pesakit setahun. – UTUSAN










