PETALING JAYA: WCT Holdings Berhad (WCT) kekal berwaspada optimis terhadap prospek baki buku tempahannya bernilai kira-kira RM5 bilion.
Menurut WCT, Bahagian Kejuruteraan dan Pembinaan dijangka kekal sebagai penyumbang utama pendapatan Kumpulan.
Jelasnya, bahagian itu telah menunjukkan permulaan yang baik pada tahun ini dengan kemenangan dua kontrak untuk pembinaan superstruktur sebuah hotel 29 tingkat dan pejabat 13 tingkat di The Exchange TRX bernilai RM137 juta.
Selain itu, projek pembesaran dan penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan bernilai RM440 juta.
“Bahagian ini akan memberi fokus pada projek-projek sedia ada di samping mengejar peluang baharu untuk menambah buku tempahan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Bahagian Pembangunan Harta Tanah Kumpulan WCT pula akan memperkukuhkan usaha pemasaran dan jualan bagi mendorong penjualan pelancaran hartanah baharu di Lembah Klang, dalam masa yang sama mengurangkan hartanah yang tidak terjual serta melupuskan tanah yang belum dibangunkan untuk mengukuhkan kedudukan aliran tunai operasi.
Sementara itu, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijalankan secara maya, Pengarah Urusan Kumpylan WCT, Datuk Lee Tuck Fook berkata, kesemua resolusi yang dibentangkan telah diluluskan oleh para pemegang saham.
Ia merangkumi dividen saham akhir melalui agihan saham perbendaharaan berdasarkan satu bahagian perbendaharaan untuk setiap 100 saham biasa yang ada di syarikat.
Mengulas prospek masa depan Kumpulan WCT, beliau berkata, jangkaan pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk tahun ini antara 6 hingga 7.5 peratus akan disokong oleh penyambungan semula aktiviti global dan domestik, normalisasi keadaan pasaran buruh, peningkatan perbelanjaan pengguna, penyambungan projek-projek infrastruktur besar serta sokongan berterusan daripada kerajaan.
“Ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan Kumpulan WCT,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Kumpulan WCT telah mencatatkan pendapatan lebih rendah iaitu RM1.70 bilion berbanding RM1.84 bilion tahun sebelumnya.
Menurut WCT, Kumpulan merekodkan kerugian boleh agih kepada pemegang ekuiti sebanyak RM214 juta berbanding kerugian RM27 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
“Berikutan wabak Covid-19 dan gangguan terhadap operasi perniagaan WCT semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nilai pelaburan harta tanah, hotel, tanah pegangan untuk pembangunan dan inventori lengkap terjejas ‘impaired’ sebanyak kira-kira RM173 juta pada tahun tersebut.
“WCT juga berkongsi kerugian tambahan ‘joint venture arising from an unfavourable final arbitral award’ kira-kira RM28 juta. Tidak termasuk perkara-perkara one-off, kerugian boleh agih Kumpulan WCT kepada pemegang ekuiti adalah lebih rendah iaitu pada RM13 juta,” jelas syarikat itu. – UTUSAN










