Elak terdedah cuaca panas di Arafah

Elak terdedah cuaca panas di Arafah

ZULKIFLI Hasan bersama jemaah haji Malaysia dalam Majlis Pelepasan Jemaah Haji ke Arafah di Mekah, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya menjaga disiplin dan terus memberi fokus kepada ibadah sepanjang masyair khususnya di Arafah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, jemaah turut diminta sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan terma­suk berada di khemah masing-masing sepanjang pergerakan di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan serta kesihatan jemaah sentiasa terpelihara terutama ketika berdepan cuaca panas di tanah suci.

“Kami menasihatkan jemaah supaya terus fokus kepada ibadah. Dalam keadaan cuaca panas, jangan keluar pada waktu tengah hari kerana kita tidak mahu ada yang terjejas kesihatannya.

“Kita mahu pastikan jemaah fokus kepada ibadah selain mengikuti semua nasihat dan bimbingan yang diberikan petugas. Ikut maktab dan khemah yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji Malaysia ke Arafah di sini semalam.

Terdahulu, jutaan jemaah haji dari seluruh dunia mula bergerak secara berperingkat ke Padang Arafah bagi melaksanakan rukun terpenting ibadah haji iaitu wukuf dalam suasana penuh tertib dan lancar.

Jemaah mula meninggalkan penginapan masing-masing di Mekah seawal pagi dengan menaiki bas yang disediakan pihak berkuasa Arab Saudi menuju ke Arafah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Masjidil Haram.

Bagi jemaah haji Malaysia, pergerakan dikendalikan secara sistematik oleh Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi jadual perjalanan yang disusun bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan semua jemaah.

Menurut Zulkifli, disiplin tinggi yang ditunjukkan jemaah haji Malaysia sepanjang operasi musim haji tahun ini memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk melaksanakan pergerakan ke masyair dengan lancar.

Tambah beliau, pihaknya yakin jemaah haji Malaysia sentiasa berdisiplin dan bersedia sepenuhnya untuk menjadi te­tamu Allah serta melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

“Insya-Allah kita percaya jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang berdisiplin dan sudah siap sedia menjadi tetamu Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli ber­kata, beliau dijadual menyampaikan khutbah Arafah dengan mesej menekankan ibadah haji sebagai pencetus perubahan diri dan pengukuhan perpaduan umat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×