PETALING JAYA: Semua operator takaful keluarga dan syarikat insurans kehidupan bersetuju melanjutkan Program Bantuan Covid-19 berkaitan penangguhan bayaran premium, sumbangan takaful dan langkah bantuan lain sehingga 31 Disember ini.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berkata, bantuan tersebut adalah untuk pemegang polisi yang terjejas dari segi kewangan akibat pandemik Covid-19.
Malah, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memaklumkan, semua syarikat insurans am turut melanjutkan tawaran langkah bantuan tambahan sehingga 31 Disember ini.
Menurut LIAM dan MTA, di bawah Program Bantuan Covid-19, syarikat insurans kehidupan dan operator takaful keluarga terus menyediakan perlindungan takaful dan insurans kepada pemegang polisi yang terjejas, termasuk mereka yang tidak dapat meraih pendapatan, dengan tempoh penangguhan bayaran premium dan sumbangan selama tiga bulan.
“Lanjutan Program Bantuan Covid-19 adalah berikutan keperluan pemegang polisi yang mungkin terus berhadapan kesempitan kewangan semasa pandemik ini.
“Penangguhan bayaran premium dan sumbangan selama tiga bulan dimulakan pada April 2020 sebagai program pilihan yang mana pemegang polisi boleh menghubungi syarikat insurans atau operator takaful keluarga mereka untuk memohon,” katanya dalam kenyataan.
Menurut persatuan itu, mereka bersedia membantu pemegang polisi yang memerlukan dan tidak dapat menunaikan bayaran premium dan sumbangan takaful disebabkan kehilangan pekerjaan atau kesan lain disebabkan pandemik.
Katanya, ia termasuk individu yang terjejas atau kehilangan pendapatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kehilangan pendapatan disebabkan pandemik.
“Contoh perkara yang menyebabkan kehilangan pendapatan termasuk pemberhentian kerja, pengurangan jam bekerja, pengurangan gaji atau komisen untuk individu serta pengurangan pendapatan perniagaan untuk mereka yang bekerja sendiri dan PKS,” katanya. – UTUSAN










