OM Holdings disenarai di Bursa Malaysia - Utusan Malaysia

OM Holdings disenarai di Bursa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OM Holdings Limited (OMH) yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX), telah memulakan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM2.72, mencatatkan premium 5.84 peratus daripada harga rujukannya iaitu RM2.57 sesaham.

Pengeluar bijih mangan dan feroaloi itu telah membuat penyenaraian bersilang pertama di Bursa Malaysia dan ASX yang dilakukan dengan cara pengenalan dan tidak akan melibatkan penerbitan saham baharu.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, OMH berkata, harga rujukan penyenaraian dan jumlah saham OMH yang tersedia untuk diniagakan daripada modal terbitan sedia ada masing-masing adalah RM2.57 dan 16.8 juta saham.

Menurut syarikat itu, harga dagangan saham-saham OMH di Bursa Malaysia dan ASX mungkin berbeza kerana pergerakan mata wang yang tidak menentu serta permintaan dan penawaran yang dinamik serta perbezaan peserta perdagangan dan asas pelabur di kedua-dua bursa.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi OMH, Low Ngee Tong berkata, pihaknya gembira dapat mencapai kejayaan tersebut selain mendapat penerimaan positif pelabur tempatan dalam sahamnya di Bursa Sekuriti.

“Penyenaraian sekunder kami juga seiring dengan rancangan pengembangan masa depan syarikat bagi aktiviti perniagaan huluan dan hiliran dalam usaha merebut pertumbuhan di rantau ini.

“Pada masa yang sama kami berharap dapat mengembangkan kehadiran dalam kalangan pelabur Malaysia serta meningkatkan aktiviti perdagangan dan kecairan saham di pasaran modal Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar secara maya.

Melangkah ke hadapan, Ngee Tong berkata, syarikat merancang untuk mengembangkan kapasitinya menjelang 2023 melalui perbelanjaan modal sebanyak A$100 juta (RM415.95 juta) hingga A$150 juta (RM623.93 juta).

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran dan Perdagangan OM Materials (S) Pte. Ltd., Adrian Low Jia Yuan memberitahu, pihaknya mungkin akan melaksanakan pengumpulan dana dari pasaran modal Malaysia selepas penyenaraian sekunder dan menyalurkan dana ke arah mengembangkan kilangnya di Sarawak.

OMH mengusahakan peleburan feroaloi dan kemudahan pensinteran mangan di Sarawak melalui usaha sama dengan Samalaju Industries Sdn. Bhd., anak syarikat Cahya Mata Sarawak Berhad selain di Qinzhou, China.

Syarikat itu turut memiliki operasi perlombongan bijih mangan berpusat di Bootu Creek Mine, Wilayah Utara Australia dan 13 peratus kepentingan di lombong mangan Tshipi Borwa di Afrika Selatan.

Manakala, aktiviti logistik, pemasaran dan perdagangan dilakukan di hab pengedaran utamanya di Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×