Profesion akauntan terus dilihat mempunyai prospek peluang kerjaya yang cerah dan relevan seiring perkembangan ekonomi serta transformasi digital yang kini semakin pesat membangun.
Permintaan terhadap tenaga profesional dalam bidang perakaunan semakin meningkat, khususnya melibatkan sektor korporat, kewangan, percukaian, audit serta tadbir urus syarikat.
Justeru Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) kini menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai salah sebuah institusi yang menyediakan modul pembelajaran dalam bidang perakaunan bagi yang berhasrat menjadi akauntan profesional.

Muhammad Danish Zulkifli, 22, dari Kedah berkata, keputusannya memilih kursus Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di MyPAC adalah tepat selepas berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang tanpa perlu mengulang mana-mana kertas peperiksaan.
Kata pelajar tajaan Yayasan Khazanah ini, MyPAC bukan sahaja memberi sokongan kewangan, malah membantu perkembangan akademik dan sosial melalui pelbagai program seperti kem kepimpinan dan sesi perkongsian daripada bekas pelajar.
Sokongan tersebut mendorongnya untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam pengajian.
“Saya berpeluang mempelajari nilai kepimpinan seperti tanggungjawab, ketahanan diri dan keupayaan beradaptasi dalam situasi mencabar.
“Pengalaman itu mengasah kemahiran insaniah dan mengubah pandangan saya sebagai pelajar dan bakal pemimpin,” katanya yang kini bekerja di firma akauntan Ernst & Young Malaysia.
Di MyPAC, dia turut mempelajari teknik ACCA dengan memberi fokus kepada latihan soalan tahun lepas berbanding sekadar membaca nota.
Katanya, latihan berulang membantu meningkatkan persediaan dan mengurangkan rasa panik ketika peperiksaan.
Teknik lain ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mendapatkan penjelasan yang lebih mudah difahami dan ringkas.
Sehingga keputusan peperiksaan sesi Mac lalu, MyPAC telah melahirkan 1,263 graduan pensijilan profesional perakaunan dan 53 pemenang anugerah.
Pencapaian ini membuktikan yang institusi tempatan juga mampu menyediakan pendidikan profesional yang komprehensif, berkualiti tinggi dan setanding dengan institusi antarabangsa dalam melahirkan akauntan profesional bertaraf global.

Walaupun berdepan cabaran dan kesukaran dalam beberapa mata pelajaran, Muhammad Haziq Ishamuddin, 22, tetap meneruskan pengajian ACCA demi mengubah masa depan.
“Saya memilih Foundations in Accountancy (FIA-ACCA) kerana ia menyediakan laluan yang jelas dan praktikal ke arah kerjaya profesional,” katanya.











