PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menyerahkan pelan strategik dan menyeluruh berjangka panjang bagi pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pelan itu memerlukan pelaburan infrastruktur bernilai RM300 juta yang dilaksanakan secara berperingkat selama lima tahun.
“Itu sesuai dengan kemampuan kami yang masih mempunyai kedudukan tunai dan pasaran wang kukuh sebanyak RM1.6 bilion dengan RM914 juta tersedia untuk operasi Malaysia.
“Pembiayaan untuk kemudahan siap atau siap dibina dapat dipermudahkan melalui kombinasi tunai dalaman dan juga pilihan pembiayaan projek,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pada tahun 2005, kerajaan memberi mandat kepada MAHB untuk membangunkan LTSAAS sebagai sebuah hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan antarabangsa.
Katanya, sejak itu, MAHB telah mengembangkan ekosistem berkenaan dan telah menarik 60 jenama terkenal selain memudahkan aliran masuk modal lebih RM500 juta.
Setakat ini, Mohd. Shukrie memberitahu, sebanyak 35 pengendali penerbangan tempatan telah bertapak di LTSAAS antaranya Aero Technic (AAT) yang merupakan syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MOR) terbesar.
Menurutnya, lapangan terbang itu juga merupakan hab bagi pendidikan dan pembangunan keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Pada tahun lalu, ekosistem itu menjana sebanyak 50 peratus daripada hasil aeroangkasa negara bernilai RM5.7 bilion.
“Melangkah ke hadapan, Pelan Pembangunan Semula MAHB akan mengembangkan ekosistem itu tiga kali ganda, menggandakan jumlah pengendali global dan tempatan kepada lebih daripada 100 pengendali yang akan mewujudkan dan menyokong 19,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi,” tambah Mohd. Shukrie.
Ujarnya, ia akan memacu peralihan Malaysia ke arah teknologi tinggi yang didorong industri Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan negara berpendapatan tinggi dengan unjuran nilai lebih daripada RM10 bilion sumbangan untuk ekonomi negara.
Beliau berkata, ia sejajar dengan teras strategi yang dikenalpasti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan mencapai aspirasi Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Pelan yang telah disahkan melalui penanda aras luas dan penglibatan pihak berkepentingan itu menggariskan tiga bidang fokus iaitu Ekosistem Aerongkasa, Perniagaan Penerbangan dan Lapangan Terbang Komuniti Bandar.
Tujuannya adalah untuk menjadikan LTSAAS sebagai hab penerbangan dan aeroangkasa pilihan di Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun akan datang.
Lapangan terbang tersebut juga akan memiliki pelbagai kemampuan dalam keseluruhan rantaian nilai kitaran hayat pesawat daripada pembuatan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan hingga kitar semula pesawat. – UTUSAN










