Kerja baiki kabel terbakar siap dua minggu lebih awal - Utusan Malaysia

Kerja baiki kabel terbakar siap dua minggu lebih awal

Head Grid aintenance TNB, Kamarol Zaman Razak (dua, kiri) membuat tinjauan kerja-kerja baik pulih pada hari pertama dilaksanakan bermula 4 Mac lalu. Hadir sama, Head Grid Maintenance (North) TNB, Ir. Muhamad Shah Rizal Suleiman (tiga, kiri). - GAMBAR TNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerja membaiki kabel voltan tinggi yang terbakar di jambatan Pulau Pinang pada 22 Feberuari lalu, dijangka siap Jumaat ini, hampir dua minggu lebih awal daripada dijadualkan.

Kerja pembaikan itu membabitkan kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer (KM) 3.2 jambatan berkenaan.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, komitmen pantas dan berterusan TNB dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Bhd. membolehkan kerja-kerja baik pulih berjalan lebih cepat daripada dijadualkan 6 Julai ini, meskipun berdepan keadaan laut bergelora.

Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih bermula pada 4 Mac lalu melibatkan penggantian tiga kabel voltan tinggi dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sepanjang kira-kira satu kilometer.

“Sepanjang tempoh pembaikan, kelancaran trafik di Jambatan Pulau Pinang tidak terganggu sama sekali kerana TNB hanya menggunakan jalan laut. Kerja-kerja pembaikan juga tidak menjejaskan daya harap dan kestabilan bekalan elektrik ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.

Husaini memberitahu, TNB menggunakan bot dan baj bagi mengangkat peralatan dan alat ganti, selain melakukan kerja merentang kabel menggunakan baj sepenuhnya.

Jelasnya, kerja-kerja diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semasa pandemik Covid-19 memuncak, setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan  mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak di tapak kerja.

“Keutamaan TNB ialah memulihkan kerosakan yang berlaku agar pengguna di Pulau Pinang dapat berterusan menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, selaras dengan nilai teras kami yang  mengutamakan Pelanggan,” tambah Husaini.

Katanya, TNB berterima kasih atas kerjasama yang diberikan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Suruhanjaya Tenaga (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), LLM, PLUS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penang Port Sdn. Bhd.

“Laporan siasatan kejadian sedang disediakan dan akan dimuktamadkan bersama pihak PLUS pada Julai 2021,” tambah beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×