LengQuas sasar ke pasaran antarabangsa - Utusan Malaysia

LengQuas sasar ke pasaran antarabangsa

Antara produk makanan sejuk beku jenama LengQuas keluaran Koperasi Kakitangan Petronas Berhad yang disasarkan ke pasaran luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: LengQuas, jenama makanan sejuk beku keluaran Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa pada suku ketiga tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, semenjak produk LengQuas diiklankan melalui siaran televisyen, permintaan terhadap produk tersebut melonjak kepada dua kali ganda daripada kapasiti pengeluaran biasa.

“LengQuas buat masa kini meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran sehingga sebanyak 32,000 bungkusan makanan atau 7 tan sebulan dan peningkatan ini adalah disebabkan oleh permintaan yang tinggi terutamanya oleh penduduk di sekitar Lembah Klang.

“KOPETRO juga bersiap sedia untuk meningkatkan lagi pengeluaran sehingga sebanyak satu juta bungkusan makanan atau 200 tan setahun bagi mengembangkan liputan pasaran dengan mengeksport produk LengQuas ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shakir berkata, pengiktirafan sijil `Veterinary Health Mark’ (VHM) daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sudah diterima pada Mei lalu dan proses perundingan bersama beberapa pengeksport serta pengedar luar hampir selesai bagi membolehkan produk sejuk beku LengQuas dieksport ke Arab Saudi serta negera lain di Asia Barat.

“Mula menembusi pasaran tempatan pada 2019, LengQuas menawarkan 14 hidangan lauk-pauk tradisional.

“Selain lauk sedia ada, LengQuas menambah lagi lima menu tradisional seperti daging lemak kuning, kari daging, asam pedas daging, kuah kacang dan daging dendeng, serta tambahan dua menu baharu makanan antarabangsa iaitu, beef stew dan chicken glaze dengan jumlah 21 produk kesemuanya pada tahun ini,” katanya.

Jelasnya lagi, kesemua produk makanan sejuk beku LengQuas telah mendapat pengiktirafan HACCP dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan serta pensijilan HALAL, MESTI dan Buatan Malaysia.

Beliah menambah, KOPETRO juga ingin berkongsi kegembiraan bersama pelanggan mereka menerusi Peraduan Makan & Menang yang bermula 1 April lalu hingga 30 Jun ini yang berjaya menarik sejumlah penyertaan.

Antara hadiah lumayan yang disediakan kepada pemenang adalah peralatan memasak jenama Thermomix, peti sejuk Toshiba, ketuhar dan peralatan dapur lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×