Pengaruh Kecerdasan Buatan terhadap pemasaran - Utusan Malaysia

Pengaruh Kecerdasan Buatan terhadap pemasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengembangan digital telah menyaksikan kemajuan yang membawa pelbagai kemudahan kepada pengguna. Secara realiti, kemajuan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) juga turut menjadi dasar yang diperlukan dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan industri, malah turut memberi pengaruh yang besar terhadap aspek gaya hidup masyarakat di seluruh dunia.

Atas faktor tersebut, AI turut mempengaruhi amalan pemasaran secara besar-besaran. Kini, para usahawan dan ahli pemasaran perlu mengenal pasti potensi yang mampu diterokai melalui kelebihan teknologi ini. Ia menjadi kepentingan kepada perniagaan dalam mengurus potensi maklumat secara lebih kos efektif.

AI merujuk kepada kepintaran yang dihasilkan melalui kendalian mesin robotik yang dicipta bagi membolehkan sesebuah sistem itu berfikir sendiri, bertindak balas dan melaksanakan sesuatu tugasan seperti manusia dengan penumpuan dan komitmen gerak kerja yang lebih efisien. AI juga mempunyai keupayaan untuk belajar dari pengalaman dan menyesuaikan diri dengan input baharu disamping sentiasa menambah baik algoritma dalam memahami kehendak manusia. 

Ia telah digunakan dalam pelbagai bidang dan dinyatakan melalui pelbagai bentuk seperti peranti pintar, perkakasan komputer, robot perindustrian, chatbot sehingga sistem bangunan pintar. Bagi sektor perniagaan, mengenalpasti potensi AI dapat membantu bagi memperkukuh pengurusan, operasi dan potensi pasaran.

MENINGKATKAN PENGALAMAN PENGGUNA   

Teknologi AI dapat membantu meningkatkan pengalaman pengguna (user experience) terhadap pelanggan atau pengunjung premis, sama ada untuk premis fizikal atau dalam talian. Ia merangkumi kemudahan dalam penyampaian komunikasi maklumat, urus niaga dan transaksi serta khidmat pelanggan yang menepati citarasa pengguna secara lebih peribadi.

AI mampu mempelajari tabiat tingkah laku seseorang pelanggan melalui komunikasi interaktif, pengalaman membeli atau pilihan carian yang sering mereka lakukan berdasarkan minat dan penglibatan yang boleh dikaitkan dengan pengaruh trend semasa. Berdasarkan eksperimen peneraju industri turut menjelaskan manfaat AI dalam meningkatkan tahap kepuasan pelanggan, merangsang pembelian semula dan impak jualan dengan lebih mampan.

Pemasaran dengan sokongan AI melalui kemudahan berinteraktif di premis fizikal, laman sesawang, e-dagang atau Marketplace mampu mempengaruhi cara pelanggan berbelanja melalui cadangan produk dan perkhidmatan tersuai yang lebih relevan. Kini, sektor peruncitan dan e-dagang turut memanfaatkan AI bagi mengenalpasti minat, pilihan dan tingkahlaku pengguna dalam memperkukuh hubungan pelanggan dan meningkatkan lagi potensi serta kredibiliti perniagaan.

STRATEGI PEMASARAN YANG KOS EFEKTIF

Antara prinsip kempen pemasaran dan promosi yang berjaya adalah dengan memperolehi impak kepada prospek pasaran yang betul. AI berupaya memanfaatkan kelebihan pengkalan data dalam mengumpul maklumat dan mengenal pasti potensi pelanggan serta prospek pasaran yang tepat.

Kemudahan jaringan digital dan media sosial juga turut dilengkapi infrastruktur AI dengan pengembangan algoritma paling terkini bagi memudahkan pelbagai capaian informasi kepada pengguna. Ia juga boleh dimanfaatkan oleh perniagaan dalam menjayakan kempen pemasaran, promosi dan periklanan melalui teknik optimasi enjin carian, pemasaran enjin carian dan periklanan media sosial yang boleh dikawal selia secara kos efektif.

Selain itu, platform reka bentuk laman sesawang dengan infrastruktur AI bernama The Grid dapat membantu merancang pembangunan laman sesawang berdasarkan data pengguna dan interaksi kandungan. Peniaga atau organisasi perniagaan hanya perlu membina kandungan secara berkala. Pereka AI bertindak dalam mengurus reka bentuk laman sesawang, kredibiliti kandungan dan capaian informasi.

Pada masa ini, kepintaran AI masih lagi di peringkat awal dan terus berkembang sebagai dasar penting Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). Melaksanakan strategi pemasaran dengan memanfaatkan kepintaran AI akan turut mempengaruhi kepentingan daya saing era digital kini dan di masa hadapan.    

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

 

  

   

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×