PETALING JAYA: Penyertaan jaguh boling tenpin negara, Sin Li Jane dalam Kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung pada 25 Mei ini masih samar apabila komitmennya di Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) menjadi penghalang utama.
Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, status juara bertahan Terbuka Malaysia edisi lepas itu masih 50-50 sama ada dapat pulang menyertai kejohanan berprestij berkenaan ataupun tidak.
Katanya, Li Jane yang kini beraksi di Amerika Syarikat bagaimanapun sudah layak secara automatik ke peringkat akhir selaku juara bertahan.
“Li Jane sahaja mungkin tidak bermain, tetapi dia belum pasti lagi. Kalau dia boleh balik, mungkin dia akan terus bermain di peringkat akhir kerana dia sudah layak sebagai juara bertahan.
“Buat masa ini peluang dia untuk bermain memang 50-50,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Walaupun berdepan kemungkinan kehilangan pemain utama, Maradona tetap optimis skuad negara mampu mempertahankan dominasi dalam kategori lelaki dan wanita.
Katanya, kekuatan pasukan negara ketika ini cukup mendalam dengan kehadiran ramai pemain elit yang berada pada prestasi terbaik.
“Kita mahu ulangi kejayaan ‘double’ seperti tahun lalu dengan memenangi kategori terbuka lelaki dan wanita sekali lagi.Pasukan kita kuat walaupun banyak pencabar hebat dari luar negara akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, cabaran utama dalam kategori wanita dijangka hadir daripada Singapura, namun Malaysia memiliki kelebihan apabila skuad utama republik itu tidak menyertai kejohanan kerana terlibat dalam saingan PWBA.
Dalam masa sama, Maradona percaya pemain seperti Natasha Mohamed Roslan, Gillian Lim dan Nora Lyana Nastasia Norkamal mampu menggalas cabaran sekiranya Li Jane tidak dapat beraksi.
Pada edisi lepas, Li Jane muncul selaku juara selepas menewaskan jaguh dari Singapura, New Hui Fen dalam perlawanan akhir stepladder wanita. – UTUSAN










