Cadang turun BUDI95 ke 150 liter bangkit kemarahan

Cadang turun BUDI95 ke 150 liter tidak wajar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penurunan kuota penggunaan bahan api di bawah program Budi Madani (BUDI95) kepada 150 liter sekiranya dilaksanakan akan membangkitkan kemarahan rakyat terutama golo­ngan yang mempunyai tanggungan tinggi dan berpendapatan rendah.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengurangan kuota tidak boleh dilakukan kepada semua sebaliknya perlu mengambil kira keadaan pengguna termasuk jumlah pendapatan dan tanggungan bulanan.

“Penurunan kuota tidak boleh secara pukal bermakna semua rakyat hanya dapat 150 liter. Kena kekalkan 200 liter untuk golongan B40 dan M40 yang layak mene­rima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Jika kerajaan kekalkan kuota 200 liter untuk B40 dan M40, rak­yat tidaklah begitu marah tetapi jika turunkan semua kepada 150 liter, ia pasti cetuskan ketidakpuasan hati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Media melaporkan, kuota BU­DI95 berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sejajar usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, walaupun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengurangan, langkah itu boleh dipertimbangkan kerana BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci.

Katanya, keupayaan itu membolehkan kerajaan melaksanakan pelarasan subsidi dan pengurusan bekalan secara lebih fleksibel mengikut keperluan semasa.

Data penggunaan semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat menggunakan petrol, jauh lebih rendah daripada kuota semasa.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md. Razak berkata, langkah itu penting dalam memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik konflik yang berlarutan di Asia Barat.

Bagaimanapun, pelaksanaan secara menyeluruh tanpa pembezaan dikhuatiri memberi kesan tidak seimbang pada rakyat.

“Kerajaan mengguna pakai pendekatan pengelasan kuota mengikut kumpulan pendapatan bagi memastikan prinsip keadilan sosial terpelihara.

“Pendekatan yang lebih adil dan berkesan ialah pengelasan kuota mengikut kumpulan pendapatan, seperti 300 liter untuk B40, 200 liter bagi M40 dan 150 liter untuk golongan T20,” katanya.

Tindakan itu perlu dibuat bagi memastikan subsidi benar-benar disasarkan kepada mereka yang lebih memerlukan, selain dapat mengurangkan pembaziran dalam kalangan pengguna berpendapatan tinggi.

Idham berkata, pelaksanaan dasar, tidak seharusnya dilakukan secara mengejut memandangkan rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup tinggi.

“Kerajaan boleh memperkenalkannya secara berperingkat bagi memberi ruang kepada pengguna untuk menyesuaikan corak per­belanjaan mereka.

“Jika diurus dengan baik, langkah ini bukan sahaja membantu kerajaan mengawal perbelanjaan subsidi dengan lebih cekap, malah mampu menjamin kesejahteraan majoriti rakyat tanpa memberi impak ekonomi yang mendadak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN