Aniq rangkul perak angkat berat Asia

Aniq rangkul perak angkat berat Asia

Mohamad Aniq Kasdan menunjukkan pingat perak dimenanginya selepas melakukan angkatan 277 kilogram dalam kejohanan Angkat Berat Asia 2026 di Gandhinagar, India, kelmarin. - FB ANIQ KASDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan pingat perak dalam kategori 60 kilogram(kg) lelaki di Kejohanan Angkat Berat Asia 2026 di Gandhinagar, India, kelmarin.

Kilauan perak itu hadir selepas atlet berusia 24 tahun itu melakukan jumlah angkatan seberat 277 kilogram (kg) hanya kurang 27kg memisahkannya dengan atlet Korea Utara, Pang Un Cheol yang meraih emas sementara gangsa diraih atlet dari Vietnam, Than Lai Gia dengan angkatan seberat 267kg.

Namun di sebalik kejayaan tersebut, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menegaskan masih terdapat banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan menjelang saingan lebih besar, khususnyaSukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Julai ini .

Katanya, walaupun pencapaian di India itu penting bagi melengkapkan kelayakan ke sukan Komanwel, prestasi Aniq masih belum berada pada tahap optimum jika dibandingkan dengan catatan terbaiknya sebelum ini.

“Kalau ikut angkatan, dia masih jauh iaitu 277kg berbanding 297kg di Olimpik. Masih ada jurang 20 kilogram tetapi yang penting dia sudah layak ke Komanwel.

“Kita meletakkan Aniq sebagai antara atlet utama untuk mengulangi kejayaan. Dalam masa tiga bulan ini, dia perlu fokus sepenuhnya kepada kekuatan, stamina dan disiplin latihan. Kita dah tak boleh lagi berlewa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aniq berkongsi rasa syukur atas pencapaian tersebut menerusi hantaran di media sosial.

“Alhamdulillah masih diberi rezeki untuk naik podium walaupun tidak dapat buat keputusan yang baik.

“Terima kasih kepada PABM, Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), Road To Gold (RTG), UiTM, jurulatih, keluarga dan penyokong yang sentiasa menghidupkan suasana,” katanya.

Untuk rekod, Aniq kini bukan sahaja mencatat pingat sulung di pentas Asia, malah turut memperbaharui catatan peribadi terbaiknya dengan angkatan 277kg, mengatasi 266kg yang dicatatkan di Kejohanan Dunia Førde, Norway 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×