Israel lulus tribunal khas untuk hukum mati rakyat Palestin

Israel lulus tribunal khas untuk hukum mati rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ahli Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang bagi menubuhkan tribunal khas yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin yang dituduh terlibat dalam serangan dipimpin Hamas pada 7 Oktober 2023.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undian 93-0 di Knesset yang mempunyai 12 kerusi lewat semalam, manakala baki 27 ahli Parlimen sama ada tidak hadir atau berkecuali daripada pengundian.

Kumpulan hak asasi manusia Israel dan Palestin memberi amaran rang undang-undang itu akan memudahkan pelaksanaan hukuman mati, selain mengetepikan prosedur yang melindungi hak untuk mendapatkan perbicaraan adil.

Peguam dari Pusat Perundangan bagi Hak Minoriti Arab di Israel, Muna Haddad berkata kepada Al Jazeera, rang undang-undang itu sengaja mengurangkan perlindungan undang-undang bagi perbicaraan adil untuk memastikan sabitan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

“Rang undang-undang itu secara jelas membenarkan perbicaraan beramai-ramai yang menyimpang daripada peraturan standard pembuktian, termasuk memberi kuasa budi bicara luas kepada hakim untuk menerima bukti yang diperoleh dalam keadaan paksaan yang mungkin melibatkan penyeksaan atau layanan buruk.

“Ini merupakan pencabulan serius terhadap jaminan perbicaraan adil dan jauh menyimpang daripada kehendak undang-undang antarabangsa,” katanya.

Bertentangan daripada amalan kehakiman biasa di Israel yang lazimnya melarang kamera di mahkamah, rang undang-undang itu turut mewajibkan rakaman serta siaran awam detik penting perbicaraan menerusi laman sesawang khas.

Ia termasuk prosiding pembukaan, keputusan mahkamah dan hukuman yang dijatuhkan.

Israel dilaporkan menahan antara 200 hingga 300 rakyat Palestin, termasuk mereka yang ditangkap di negara itu semasa serangan 7 Oktober, tanpa sebarang pertuduhan setakat ini.

Serangan dipimpin Hamas ke atas komuniti Israel di sepanjang sempadan selatan negara itu dengan Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 1,139 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan Al Jazeera berdasarkan statistik rasmi Israel. Kira-kira 240 lagi dijadikan tawanan.

Manakala perang Israel di Gaza pula mengorbankan sekurang-kurangnya 72,628 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 846 orang sejak gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa pada Oktober lalu.

Perang itu, yang menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpotensi dianggap sebagai genosid, menyebabkan wilayah Palestin musnah teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×