PETALING JAYA: Perebutan gelaran ‘mesin gol’ Liga Super semakin menarik apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva kini unggul di kedudukan teratas dengan 27 jaringan.
Calon pemain naturalisasi Harimau Malaya itu meledak enam gol kelmarin ketika skuad Harimau Selatan berpesta jaringan membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 di Stadium Sultan Ibrahim.
Ledakan enam gol atau hatrik berganda itu menyaksikan Bergson berjaya memintas kedudukan penyerang Selangor FC, Chrigor Maraes yang sebelum ini berada di kedudukan teratas dengan 23 jaringan.
Seandainya mahu merebut gelaran penjaring terbanyak Liga Super bagi musim 2025/2026, Moraes perlu meledak lima jaringan dalam aksi terakhir liga ketika Selangor menentang PDRM pada Ahad ini.
Berdasarkan situasi itu, Bergson kini menjadi pilihan utama meraih ‘kasut emas’ musim ini, namun dalam bola sepak apa jua boleh berlaku dengan Moraes pastinya mengharapkan bantuan rakan sepasukan untuk meledak sebanyak mungkin jaringan.
Untuk rekod, Bergson pernah muncul penjaring terbanyak musim lalu dengan 32 gol selain pemain kelahiran Brazil itu pernah memenangi kasut emas pada musim 2022 selepas meledak 29 gol.
Bukan itu sahaja, Bergson juga sebelum ini telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super dengan 109 gol mengatasi bekas penyerang Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin (106 gol).
Bagi Moraes pula, seandainya berjaya merangkul anugerah kasut emas musim ini, dia akan mengulangi pencapaian yang diraih bekas penyerang Selangor, Ayron del Valle yang mengumpul 23 gol pada musim 2023.
Sementara itu, seorang lagi penyerang JDT, Jairo Da Silva serta peledak Kuching City, Ronald Ngah Wanja berkongsi kedudukan ketika dengan 14 gol.
Dalam pada itu, penyerang Kuala Lumpur City FC, Safawi rasid muncul penyerang tempaan terbaik dengan 13 gol di kedudukan keempat diikuti Wilmar Jordan (Imigresen) dan Ajdin Mujagic (JDT) dengan 11 gol. – UTUSAN











