TEHERAN/WASHINGTON/TEL AVIV: Iran mengecam kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menolak respons Teheran terhadap pelan damai Washington dengan menyifatkannya sebagai tidak relevan.
Media Iran melaporkan, penolakan syarat pelan damai Iran oleh Trump tidak penting buat Teheran.
“Tiada sesiapa di Iran yang menulis cadangan untuk memuaskan hati Trump. Pasukan rundingan Teheran hanya menggubal pelan berdasarkan hak rakyat Iran.
“Jika Trump tidak berpuas hati dengan cadangan tersebut, pada asasnya, ia adalah lebih baik,” kata sumber kepada agensi berita Tasnim.
PERMINTAAN UTAMA
Pendirian Teheran itu muncul selepas Trump pada Ahad menyifatkan syarat Iran untuk menamatkan perang di Asia Barat sebagai sama sekali tidak boleh diterima. Kenyataan itu meningkatkan kemungkinan tercetusnya konflik baharu sehingga menyebabkan harga minyak melonjak dalam dagangan awal Asia pada Isnin.
Trump menerusi platform Truth Social miliknya menyatakan beliau menolak cadangan balas Teheran, walaupun tidak memperincikan kandungannya.
“Saya baru sahaja membaca respons daripada wakil Iran itu. Saya tidak suka. Sama sekali tidak boleh diterima!” tulis Trump.
Susulan pertukaran kenyataan itu, media Israel melaporkan terdapat satu panggilan telefon sensitif antara Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi membincangkan ketegangan serantau serta program nuklear Iran.
Bagaimanapun, Menurut Tasnim, Iran menekankan keperluan untuk menamatkan perang dengan segera dan mendapatkan jaminan terhadap sebarang tindakan serangan baharu dalam maklum balas kepada AS untuk perang ditamatkan.
Teheran juga menentpkan syarat yang menuntut agar sekatan Pejabat Kawalan Aset Asing AS (OFAC) berkaitan penjualan minyak ditarik balik dalam tempoh 30 hari dan pembebasan serentak aset Iran yang dibekukan selepas persetujuan awal dicapai.
Selain itu, Iran menyatakan tuntutan untuk mengawal Selat Hormuz dan penamatan segera sekatan laut.
Walaupun AS telah mengemukakan cadangan penyelesaian sendiri, respons Teheran menunjukkan beberapa langkah Washington perlu dilaksanakan dalam tempoh 30 hari bagi memastikan kemajuan rundingan.
Kelmarin, Iran membalas cadangan damai terbaharu Washington dan memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu AS atau membenarkan lebih banyak kapal perang asing memasuki Selat Hormuz.
KEBUNTUAN RUNDINGAN
Ketegangan ini terus meningkatkan kebimbangan serantau apabila kedua-dua pihak masih buntu dalam isu laluan maritim dan sekatan ekonomi.
Kebuntuan tersebut menggusarkan pasaran tenaga global apabila harga minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent melonjak 4.65 peratus kepada AS$99.95 (RM392) setong dalam dagangan pagi Isnin di Asia.
Kontrak minyak penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), turut meningkat lebih empat peratus ketika pelabur bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan yang lebih besar di Selat Hormuz, lokasi Iran mengenakan sekatan separa terhadap laluan maritim.
Netanyahu yang melancarkan perang terhadap Iran bersama AS pada 28 Februari lalu turut menyatakan bahawa konflik itu tidak akan berakhir selagi kemudahan nuklear Iran tidak dimusnahkan.
“Ia belum berakhir kerana masih ada bahan nuklear, uranium diperkaya yang perlu dikeluarkan dari Iran. Masih ada tapak pengayaan yang perlu dibongkar,” katanya dalam program 60 Minutes terbitan CBS.
Teheran pula terus menampilkan pendirian tegas dalam usaha diplomatik untuk membawa pihak bertelagah kembali ke meja rundingan.
“Kami tidak akan tunduk kepada musuh, dan jika ada perbincangan atau rundingan, itu tidak bermakna menyerah kalah atau berundur,” kata Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menerusi platform X pada Ahad.
Menurut penyiar Iran, IRIB, respons Teheran terhadap pelan AS yang disalurkan melalui pengantara Pakistan memberi tumpuan kepada usaha menamatkan perang di semua medan, khususnya Lubnan, lokasi Israel masih bertempur dengan Hizbollah selain memastikan keselamatan pelayaran.
Laporan itu bagaimanapun tidak memperincikan kandungan lain. Namun, cadangan AS sebelum ini dikatakan tertumpu kepada lanjutan gencatan senjata di Teluk bagi membolehkan rundingan mengenai penyelesaian konflik serta program nuklear Iran diteruskan.
Menurut Wall Street Journal yang memetik sumber berkaitan, cadangan balas Iran termasuk kemungkinan mencairkan sebahagian uranium diperkaya tinggi miliknya, manakala selebihnya dipindahkan ke negara ketiga.
Iran turut menuntut jaminan uranium tersebut akan dipulangkan semula jika rundingan gagal atau Washington menarik diri daripada perjanjian.
Dalam pada itu, Trump dengan angkuh berkata dalam satu wawancara yang disiarkan pada Ahad bahawa hanya dua minggu diperlukan untuk menyerang setiap sasaran di Iran dan menambah bahawa republik Islam itu telah“dikalahkan secara ketenteraan.
“Mereka (Iran) telah dikalahkan secara ketenteraan. Dalam fikiran mereka sendiri, mungkin mereka tidak tahu perkara itu. Namun, saya rasa mereka tahu,” kata Trump dalam wawancara tersebut. – AFP/AGENSI










