Ringgit dijangka mengukuh sekitar RM3.91 minggu ini

Ringgit dijangka mengukuh sekitar RM3.91 minggu ini – pakar ekonomi

RINGGIT ditutup rendah kepada 3.9210/3.9260 pada 5 petang semalam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus mengukuh ke sekitar paras RM3.91 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, didorong oleh sentimen positif terhadap aliran masuk dana asing, selain keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi domestik yang kekal kukuh.

Ia sekali gus berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada prestasi Bursa Malaysia terutama melibatkan sektor perbankan, utiliti dan pengguna.

Pada 5 petang semalam, mata wang tempatan ditutup rendah pada 3.9210/3.9260 berbanding 3.9170/3.9220 pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sektor perbankan dijangka menjadi antara penerima manfaat utama apabila nilai ringgit yang kukuh dapat mengurangkan kos pembiayaan dalam dolar AS dan membantu meningkatkan pinjaman.

“Kaunter utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad dan YTL Power International Berhad turut dilihat berpotensi mencatat prestasi lebih baik susulan pengurangan beban hutang dalam mata wang asing.

“Selain itu, sektor pengguna dijangka mendapat manfaat daripada kos import bahan mentah yang lebih rendah.

“Dalam pada itu, kaunter eksport seperti Inari Amertron Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) dan Top Glove Corporation Berhad dijangka berdepan tekanan berikutan penyusutan nilai pendapatan dalam dolar AS apabila ringgit mengukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ringgit dijangka diniagakan dalam julat sekitar RM3.80 hingga RM3.95 berbanding dolar AS dengan penganalisis pasaran melihat paras sokongan kukuh pada sekitar RM3.90 hingga RM3.92.

“Ringgit kini dilihat sebagai antara mata wang berprestasi tinggi susulan sentimen risiko global yang lebih baik, aliran masuk dana yang stabil serta kedudukannya sebagai mata wang berkait dengan eksport tenaga bersih.

“Dalam masa sama, beberapa model pasaran turut menjangkakan potensi pengukuhan kecil pada minggu ini, dengan kemungkinan kadar harian bergerak di bawah paras RM3.90. 

“Namun, pergerakan tersebut dijangka kekal tidak menentu berikutan turun naik dalam pasaran pertukaran asing,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ringgit nampak agak stabil dan sedikit mengukuh berbanding dolar AS minggu ini. 

“Pengukuhan mata wang tempatan ini dipacu oleh dolar AS yang sedikit lemah, jadi banyak mata wang Asia termasuk ringgit mendapat sokongan. 

“Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus turut membantu sentimen pasaran kekal stabil. 

“Pasaran juga sedang memantau isu geopolitik Asia Barat dan rundingan AS–China. Jika sentimen global bertambah baik, ringgit boleh terus mengukuh sedikit,” jelasnya. 

Katanya, penganalisis menjangka ringgit bergerak dalam julat sekitar RM3.90 hingga RM3.95 berbanding dolar AS minggu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×