Sabalenka buka langkah kanan

Sabalenka buka langkah kanan

Aryna Sabalenka membalas bola pukulan lawannya, Barbora Krejcikova dalam saingan tenis Terbuka Rome di Foro Italico, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Pemain No.1 dunia, Aryna Sabalenka memberi amaran awal kepada pencabar lain apabila memulakan kempen Terbuka Itali dengan kemenangan bergaya 6-2, 6-3 ke atas Barbora Krejcikova awal, semalam.

Sabalenka yang masih memburu gelaran sulung di Rome jelas tampil lebih matang dan tenang kali ini apabila segera bangkit selepas kehilangan permainan pertama sebelum mendominasi keseluruhan aksi di gelanggang tengah.

“Saya sangat gembira dapat melepasi halangan ini kerana dia seorang pemain hebat dan kami sudah banyak melalui perlawanan sukar sebelum ini.

“Saya juga puas hati dengan tahap permainan saya hari ini dan kemenangan seperti ini sangat penting untuk membina keyakinan menjelang Grand Slam seterusnya,” kata Sabalenka.

Dalam aksi lain, juara bertahan, Jasmine Paolini terpaksa mengerah kudrat bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan Leolia Jeanjean 6-7(4/7), 6-2, 6-4 untuk meneruskan kemaraan di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, suasana suram menyelubungi kem Itali apabila bekas finalis Wimbledon, Matteo Berrettini tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas straight set kepada Alexei Popyrin sekali gus dijangka tercicir daripada kelompok 100 terbaik dunia.

“Ia hari yang sangat buruk buat saya kerana saya langsung tiada tenaga dan gagal menggunakan sorakan penonton untuk membantu permainan.

“Tahun ini bermula dengan cukup pelik buat saya dan satu-satunya cara untuk terus bergerak ke depan adalah menerima hakikat akan ada hari-hari sukar seperti ini,” kata Berrettini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×