KANGAR: Kerajaan negeri perlu menterjemah aspirasi Perlis sebagai ‘Dubai kedua’ sebagaimana keyakinan dizahirkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, titah Tuanku Syed Sirajuddin itu bukan kenyataan biasa yang boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh kerajaan negeri.
Beliau agak ralat apabila sehingga kini masih belum kelihatan kesungguhan kerajaan negeri untuk menyambut, membahas dan menterjemahkan titah tersebut sebagai agenda besar berkaitan pembangunan negeri.
“Sepatutnya respon segera diberikan dengan penubuhan jawatankuasa khas melibatkan kerajaan negeri, pemain industri, pakar ekonomi, logistik, pelaburan dan perancang pembangunan.
Titah besar seperti itu tidak boleh hanya dipetik dalam berita, tetapi mesti diterjemahkan kepada pelan tindakan, kajian strategik dan hala tuju ekonomi negeri secara serius,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan keyakinan Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai kedua’ iaitu pintu gerbang terbuka kepada negara ASEAN berikutan kedudukannya strategik bersempadan Thailand.
Baginda bertitah, negeri ini mampu berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, pendekatan yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri bukan bermaksud menukar Perlis menjadi Dubai secara fizikal sebaliknya apa yang perlu dicontohi ialah keberanian visi dan model pembangunannya.
Katanya, Dubai bukan negeri paling kaya dengan minyak di dalam Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana kekuatan petroleum sebenar berada di Abu Dhabi.
“Namun Dubai berjaya muncul sebagai antara pusat ekonomi dunia kerana mereka membina kekuatan pada perdagangan, pelabuhan, logistik, penerbangan, kewangan, pelancongan dan perkhidmatan antarabangsa.
“Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu memperkenalkan dasar pandang ke Timur kerana beliau memahami bahawa kemajuan Jepun bermula daripada perubahan cara fikir dan keberanian membina masa depan. Semangat itulah yang perlu ada di Perlis hari ini iaitu berani berfikir besar walaupun negeri kecil.
“Perlis juga sebenarnya mempunyai asas strategik yang nyata iaitu Perlis Inland Port, Chuping Valley Industrial Area, jaringan rel kargo, kedudukan sempadan ASEAN, potensi tenaga hijau, cadangan pembangunan Port Sanglang serta potensi oil & gas di perairan Perlis yang sedang dikaji oleh Petronas. Semua ini bukan lagi angan-angan kosong.
“Persoalannya sekarang, adakah kerajaan negeri benar-benar mempunyai keberanian politik dan kepantasan untuk menyambut titah besar Tuanku Syed Sirajuddin atau sekadar membiarkannya tinggal sebagai slogan tanpa tindakan?” soalnya. – UTUSAN










