SEKTOR penanaman padi di utara Semenanjung khususnya Kedah, Perlis dan Perak Utara yang menjadi tulang belakang pengeluaran beras negara kini berdepan tekanan berganda akibat kekurangan air dan peningkatan kos operasi.
Dua cabaran ini bukan sahaja menjejaskan hasil tuaian, malah mengancam kelangsungan hidup ribuan pesawah yang bergantung sepenuhnya kepada sawah sebagai sumber pendapatan utama.
Dalam konteks keselamatan makanan negara, keadaan ini menimbulkan persoalan besar tentang kemampuan Malaysia mengekalkan tahap sara diri beras apabila sumber air semakin terhad dan kos pengeluaran terus meningkat dari musim ke musim.
Di kawasan jelapang padi utama, isu air menjadi faktor paling kritikal yang menjejaskan keseluruhan kitaran penanaman.
Paras air di empangan utama seperti Pedu, Muda dan Timah Tasoh dilaporkan menurun sehingga 30 hingga 50 peratus daripada kapasiti optimum. Penurunan ini bukan sekadar angka teknikal tetapi memberi kesan terus kepada sistem pengairan sawah yang bergantung sepenuhnya kepada pelepasan air empangan.
Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila corak cuaca semakin tidak menentu dan taburan hujan tidak lagi konsisten seperti dahulu, khususnya pada musim penanaman yang kritikal.
Akibatnya, banyak kawasan sawah tidak menerima bekalan air yang mencukupi mengikut jadual pengairan yang ditetapkan.
Di beberapa kawasan seperti Pendang dan Yan, sawah yang sebelum ini menerima lima hingga enam pusingan air semusim kini hanya mendapat sekitar tiga hingga empat pusingan sahaja.
Pengurangan ini memberi kesan langsung kepada keseragaman pertumbuhan padi di ladang.
Di Perlis pula, sebahagian pesawah melaporkan hanya mampu menakungi sawah sekitar 60 hingga 70 peratus daripada tempoh optimum pengairan, sekali gus menjejaskan jadual penanaman dan menyebabkan kelewatan dalam fasa pertumbuhan padi.
Dalam keadaan ini, sebahagian pesawah terpaksa mencari alternatif dengan mengepam air dari sungai atau kolam kecil bagi memastikan sawah tidak kering sepenuhnya. Namun, langkah ini datang dengan kos tambahan yang tinggi, termasuk penggunaan bahan api dan penyelenggaraan pam. Tidak semua pesawah mampu menampung beban ini, menyebabkan ada yang akhirnya menanggung kerugian apabila hasil tidak setimpal dengan modal yang telah dikeluarkan sejak awal musim.
Kekurangan air turut memberi kesan langsung kepada kualiti dan kuantiti hasil padi. Tanaman yang tidak mendapat bekalan air secukupnya akan mengalami pertumbuhan terbantut, selain meningkatkan risiko pokok tidak membentuk buah dengan sempurna.
Dalam banyak kes, biji padi menjadi kosong, kecil atau tidak matang sepenuhnya. Di sesetengah kawasan yang terjejas teruk, penurunan hasil dilaporkan boleh mencecah antara 40 hingga 60 peratus berbanding musim biasa. Keadaan ini memberi tekanan besar kepada pesawah yang sudah pun berdepan kos operasi yang meningkat.
Situasi ini menjadi lebih kritikal di kawasan luar skim pengairan utama yang bergantung sepenuhnya kepada hujan sebagai sumber air. Tanpa sistem sokongan yang kukuh, mereka lebih terdedah kepada risiko kegagalan tuaian apabila cuaca tidak menentu. Dalam keadaan tertentu, pesawah terpaksa beralih kepada kaedah penanaman seperti tabur terus kering yang jauh kurang efisien dan tetap membawa risiko penurunan hasil yang lebih ketara.

PENINGKATAN KOS OPERASI
Selain isu air, pesawah turut dibebani peningkatan kos operasi yang semakin membimbangkan. Harga input pertanian seperti baja, racun perosak dan benih padi meningkat antara 10 hingga 25 peratus akibat faktor global termasuk kos import dan ketidaktentuan mata wang. Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada struktur kos pengeluaran setiap musim.
Dalam masa sama, kos bahan api bagi jentera pertanian serta pam air turut meningkat, menjadikan keseluruhan kos pengeluaran naik sekitar 20 hingga 30 peratus setiap musim penanaman.
Tekanan ini menyebabkan sebahagian pesawah terpaksa mengurangkan penggunaan input berkualiti seperti baja tambahan atau racun perosak yang lebih efektif, sekali gus memberi kesan berantai kepada hasil akhir padi.
Kos tenaga kerja juga tidak terkecuali daripada peningkatan, khususnya bagi kerja-kerja sawah yang memerlukan buruh tambahan pada fasa tertentu.
Dalam keadaan kekurangan air, kebergantungan kepada pam air turut menambah lagi beban kewangan kerana penggunaan bahan api yang tinggi. Kesemua faktor ini akhirnya menekan margin keuntungan pesawah ke tahap yang semakin kecil.
Gabungan masalah kekurangan air dan peningkatan kos ini memberi kesan besar kepada ekonomi pesawah. Pendapatan bersih mereka semakin mengecil, sedangkan kos sara hidup terus meningkat dari tahun ke tahun. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa jika trend ini berterusan, sebahagian pesawah mungkin tidak lagi mampu meneruskan aktiviti penanaman padi sebagai sumber pendapatan utama.
Dari sudut keselamatan makanan negara, kesannya amat signifikan. Kawasan jelapang padi di Kedah, Perlis dan Perak Utara menyumbang sekitar 60 peratus pengeluaran beras tempatan. Sebarang gangguan di kawasan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan negara secara keseluruhan.
Secara purata, Malaysia menghasilkan sekitar 1.6 hingga 1.8 juta tan metrik padi setahun. Namun, gangguan cuaca dan kekurangan air boleh menyebabkan penurunan antara 10 hingga 20 peratus, bersamaan sekitar 160,000 hingga 300,000 tan dalam satu musim pengeluaran.
Kekurangan ini memberi tekanan kepada stok simpanan negara serta meningkatkan kebergantungan kepada import beras yang sudah pun berada pada tahap sekitar 30 hingga 40 peratus.
Jika keadaan ini berterusan, kadar sara diri beras negara yang sebelum ini sekitar 60 hingga 70 peratus berisiko menurun lagi. Kebergantungan yang lebih tinggi kepada import menjadikan harga beras lebih mudah terdedah kepada turun naik pasaran global, sekali gus memberi kesan kepada pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah.
Secara keseluruhannya, isu yang melanda sektor padi ini bukan sekadar melibatkan penurunan hasil semata-mata, tetapi turut merangkumi ketidakstabilan bekalan, penurunan kualiti serta peningkatan kebergantungan kepada import. Jika isu kekurangan air dan kos operasi ini tidak ditangani secara sistematik, sektor beras negara akan terus berdepan risiko ketidakstabilan jangka panjang yang boleh menjejaskan keselamatan makanan negara secara keseluruhan. -UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).










