LANGKAWI: Tiada sebarang aduan penipuan ibadah haji diterima setakat ini susulan pelaksanaan Kempen Tiada Visa Tiada Haji sejak 27 April, dengan semua urusan berjalan lancar mengikut jadual penerbangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, semua urusan berkaitan ibadah itu mengikut perancangan seperti yang dijadualkan oleh Amal Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
“Setakat ini dengan pemantauan yang dilakukan sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mahu pun di media sosial, kita tidak menerima aduan berkenaan dengan penipuan haji,” katanya selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka di sini, semalam.
Beliau juga berharap tiada kes penipuan haji dilaporkan pada tahun ini sehinggalah penerbangan terakhir musim haji kali ini pada 20 Mei nanti.
Musim haji 1447H dijangka melibatkan 31,600 jemaah Malaysia yang dapat menunaikan Rukun Islam kelima dengan 100 penerbangan sewa khas melalui AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines ke tanah suci.
Kumpulan pertama jemaah haji negara melibatkan 284 orang berlepas pada 18 April lalu dari Terminal 1 KLIA pada 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang menandakan bermulanya musim haji bagi 1447H/2026M.
Mereka terdiri daripada 141 jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar, dekat sini dan 143 jemaah dari stesen Sepang. – UTUSAN








