ISTANBUL: Pasangan warga Britain yang dalam perjalanan pulang dari Thailand ditahan di Lapangan Terbang Istanbul selepas pihak berkuasa menemukan kira-kira 20 kilogram (kg) ganja dalam bagasi mereka.
Menurut pihak kastam Turkiye, sebuah beg pakaian milik salah seorang suspek didapati dipenuhi dadah yang dibungkus secara vakum, seperti dipaparkan dalam rakaman dikeluarkan agensi berita tempatan, DHA.
Kedua-dua individu berusia 20 tahun itu ditahan pada 26 April sebelum disoal siasat dan kemudian ditempatkan dalam tahanan reman sementara menunggu proses undang-undang selanjutnya.
“Kami sedang memberikan sokongan kepada dua warga Britain yang ditahan di Turkiye serta keluarga mereka, dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan,” kata Kementerian Luar Britain dalam satu kenyataan kepada AFP.
Thailand mendekriminalkan ganja pada 2022, dan susulan peningkatan kes tangkapan di lapangan terbang United Kingdom (UK), pihak berkuasa Britain berulang kali memberi amaran kepada pelancong supaya tidak membawa dadah tersebut pulang ke negara mereka.
Dalam kes berkaitan, dua wanita Perancis, yang turut pulang dari Thailand, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Turkiye selepas ditahan 10 bulan di Lapangan Terbang Istanbul kerana membawa hampir 25 kg ganja.
Dalam satu laporan yang diterbitkan pada 2025, Agensi Dadah Kesatuan Eropah (EUDA) menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan rampasan ganja yang berasal dari Thailand.- AFP










