PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.
Baginda menegaskan, isu penternakan haiwan itu perlu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terpelihara.
“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,” katanya menerusi Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Mohamad Munir Bani.
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi hantaran di Facebook baginda, semalam.
Mohamad Munir turut berkata, baginda menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air dan sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Negeri Selangor.
“Justeru, Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di negeri Selangor,” titah baginda.
Sultan Selangor juga berpandangan penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
Sebelum ini, baginda menzahirkan dukacita apabila masih terdapat pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dan enggan untuk mematuhi titah baginda berhubung larangan penternakan babi di negeri ini.
Baginda bertitah, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan tanah selain kedudukan ladang ternakan yang berada di kawasan penempatan penduduk padat dengan umat Islam
Ia susulan insiden pada bulan lalu dimana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Seri Kembangan, Wong Siew Ki menggesa kerajaan Selangor menimbang semula pendekatan terhadap penternakan babi, termasuk meneroka sistem moden dan terkawal.
Dia kemudian dituduh ‘biadab dan derhaka’, dengan pengkritik berhujah bahawa cadangannya merupakan penghinaan terhadap titah Sultan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor perlu memahami konsep raja berperlembagaan apabila Sultan Selangor membuat teguran berhubung larangan pembinaan ladang babi di negeri ini.
Sultan Selangor, pada Februari lalu tidak memperkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana menyebabkan pencemaran teruk.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan berkata, aktiviti penternakan haiwan itu menyebabkan pencemaran udara yang menyebabkan bau busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan sisa kumbahannya.
Baginda menegaskan penggunaan teknologi moden sekali pun akan menyebabkan kos yang tinggi dan mungkin memberi kesukaran kepada mana-mana penternak yang bergantung kepada bekalan daging babi bagi negeri ini sahaja. – UTUSAN











