Trump ancam bom Iran lagi jika rundingan gagal - Utusan Malaysia

Trump ancam bom Iran lagi jika rundingan gagal

TRUMP memberi amaran akan menyerang Iran sekali lagi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trumpm berkata pada Rabu bahawa beliau percaya satu perjanjian dengan Iran sangat mungkin dicapai, namun mengancam untuk sekali lagi mengebom negara itu jika rundingan dengan Teheran gagal.

Walaupun Trump optimis, Iran masih belum memberikan maklum balas terhadap cadangan baharu AS, dengan ketua perundingnya memberi amaran bahawa Washington cuba memaksa Republik Islam itu menyerah kalah.

Tanda-tanda positif bahawa kedua-dua musuh itu mungkin kembali ke meja rundingan selepas beberapa minggu kebuntuan semakin ketara selepas Trump menghentikan operasi ketenteraan singkat untuk membuka semula Selat Hormuz, dengan alasan masih berharap kepada perjanjian.

Trump berkata pada Rabu bahawa jika Iran bersetuju memberikan apa yang telah dipersetujui, perang akan berakhir tetapi jika tidak, pengeboman akan disambung semula pada tahap dan intensiti yang jauh lebih tinggi.

“Kami telah mengadakan rundingan yang sangat baik dalam tempoh 24 jam lalu dan sangat mungkin kami akan mencapai perjanjian,” kata Trump kemudian kepada wartawan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei memberitahu media tempatan bahawa pelan dan cadangan AS masih dalam penelitian dan Teheran akan menyampaikan pendiriannya kepada pengantara, Pakistan selepas memuktamadkan pandangannya.

Sementara itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang mengetuai rundingan, memberi amaran bahawa Washington sedang berusaha, melalui sekatan laut, tekanan ekonomi dan manipulasi media, untuk memusnahkan perpaduan negara bagi memaksa kami menyerah kala.

Trump berkata sehari sebelumnya bahawa sekatan AS akan terus dikekalkan selagi Teheran meneruskan cengkamannya terhadap Selat Hormuz.

Berdasarkan kemajuan ke arah perjanjian, beliau berkata, usaha baharu untuk membuka semula laluan perdagangan penting itu akan dihentikan sementara untuk tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian itu dapat dimuktamadkan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif tokoh penting dalam rundingan awal di Islamabad bulan lalu, menyatakan harapan terhadap tercapainya perjanjian.

“Kami amat berharap momentum semasa akan membawa kepada perjanjian berkekalan yang menjamin keamanan dan kestabilan jangka panjang bagi rantau ini dan seterusnya,” katanya di X.

Media AS, Axios, yang memetik dua pegawai AS, melaporkan kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan mengenai memorandum persefahaman satu halaman untuk menamatkan perang dan menetapkan rangka kerja bagi rundingan nuklear yang lebih terperinci.

Bercakap kepada laman berita PBS, Trump menegaskan Iran akan menyerahkan uranium diperkayanya kepada AS, tanpa menjelaskan bagaimana isu utama pertikaian itu akan diselesaikan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×