Singapura benarkan guru rotan pelajar seawal usia 9 tahun - Utusan Malaysia

Singapura benarkan guru rotan pelajar seawal usia 9 tahun

GAMBAR fail sebuah sekolah di Singapura. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Singapura, Desmond Lee mengesahkan bahawa guru-guru dibenarkan menggunakan hukuman rotan untuk mendisiplinkan pelajar yang tidak terkawal dalam kes-kes tertentu. 

Lee menyatakan di parlimen pada Selasa bahawa sekolah-sekolah di republik itu menggunakan rotan sebagai langkah disiplin sekiranya kaedah lain tidak mencukupi bergantung kepada tahap serius salah laku yang dilakukan.

Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab persoalan mengenai langkah anti-buli baharu yang diumumkan pada 15 April lalu, termasuk impak kesihatan mental terhadap kanak-kanak seawal usia 9 tahun yang dikenakan hukuman itu. 

Menurut Lee, sekolah mengikut protokol ketat bagi memastikan keselamatan pelajar, di mana hukuman rotan mesti diluluskan oleh pengetua dan hanya boleh dilaksanakan oleh guru yang diberi kuasa. 

Kerangka kerja baharu ini dijadualkan untuk dilaksanakan di seluruh sekolah Singapura bermula tahun 2027.

Pihak sekolah akan mempertimbangkan faktor-faktor seperti tahap kematangan pelajar dan keberkesanan hukuman tersebut dalam membantu pelajar belajar daripada kesilapan dan memahami graviti perbuatan mereka. 

Hukuman ini akan dilaksanakan berdasarkan budi bicara sekolah selepas menilai keadaan kesalahan yang dilakukan. 

Lee menyatakan bahawa pendekatan ini disokong oleh kajian yang menunjukkan kanak-kanak dan golongan muda belajar membuat pilihan lebih baik apabila terdapat batasan jelas dikuatkuasakan melalui tindakan tegas, selain mendakwa ia membantu mengurangkan gejala buli.

Berdasarkan garis panduan di laman web Kementerian Pendidikan, hukuman rotan hanya boleh dikenakan terhadap pelajar lelaki sahaja bagi kesalahan serius sebagai langkah terakhir apabila ia benar-benar diperlukan. 

Hukuman rotan di Singapura merupakan warisan daripada pemerintahan kolonial British, namun Britain telah lama menghapuskan hukuman itu. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×