Kemelut politik Negeri Sembilan selesai - Aminuddin kekal MB - Utusan Malaysia

Kemelut politik Negeri Sembilan selesai – Aminuddin kekal MB

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut politik Negeri Sembilan berjaya diurus dengan baik selepas perbincangan antara pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung kelmarin.

Jurucakap Kerajaan Perpa­duan, Datuk Fahmi Fadzil ber­kata, hasil pertemuan tersebut menyaksikan kerjasama antara kedua-dua pihak kekal dalam memastikan kestabilan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Per­pa­duan di Negeri Sembilan juga akan terus ditadbir di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal stabil dan pentadbiran berjalan seperti biasa di bawah Aminuddin.

“Sebarang isu berbangkit akan dirujuk kepada ­pimpinan utama antara parti-parti komponen bagi memastikan penye­lesaian dapat dicapai secara bersama,” katanya dalam sidang akhbar pasca Kabinet, semalam.

Kelmarin, Majlis Perundi­ngan Pimpinan Kerajaan Perpaduan men­capai kata sepakat untuk me­ngekalkan kerjasama politik di Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan se­cara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, kedudukan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kembali menjadi majoriti selepas krisis politik yang berlaku sejak 27 April lalu.

Aminuddin berkata, tiada lagi pentadbiran kerajaan secara minoriti seperti yang di­umumkannya sebelum ini.

Katanya, kedudukan itu selaras dengan keputusan dibuat Biro Politik PH bersama Biro Politik UMNO untuk mengekalkan kerjasama di ne­geri ini.

“(Kerajaan minoriti itu) cuma pada hari kejadian (27 April). Itu pun tidak jelas sebab tiada kepastian sebenarnya mengenai jumlah yang ­menarik sokongan.

“Sekarang tidak ada minoriti lagi. Sebab itu saya cakap saya kerja macam biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Negeri di Seremban, semalam.

Krisis politik di negeri ini bermula apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengisy­tiharkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sehingga kini beliau belum memutuskan mengenai jawatan exco yang telah dikosongkan oleh ADUN BN sebelum ini.

“Kita hanya mengagihkan tugas-tugas exco yang kosong kepada exco yang ada,” ujar­nya.

Aminuddin menjelaskan, pelantikan exco baharu dijang­ka mengambil sedikit masa, na­mun tidak menetapkan sebarang tempoh.

Katanya, beliau juga belum menetapkan tarikh baharu Sidang DUN yang telah ditangguhkan pada 23 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×