SPRM peroleh semula RM31.3b dana, aset 1MDB

SPRM peroleh semula RM31.3b dana, aset 1MDB

AZAM Baki (tiga dari kanan) melihat salah satu lukisan bernilai tinggi yang merupakan sebahagian aset 1MDB yang berjaya dibawa pulang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh semula dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu melibatkan 74.5 peratus daripada RM42 bilion keseluruhan dana dan aset 1MDB yang telah diseleweng.

Beliau berkata, kejayaan itu antara pemulihan tertinggi di dunia bagi kes jenayah kewa­ngan berskala besar dan merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan SPRM mendapatkan semula aset negara itu.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja mencerminkan komitmen teguh kerajaan Malaysia malah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan setiap aset yang hilang dapat dikesan dan dikembalikan kepada negara.

Katanya, nilai keseluruhan aset yang berjaya diperoleh semula setakat tahun 2025 adalah lebih RM31.3 bilion.

“Pecahan peratusan pemulihan aset mengikut tahun ialah RM1.155 bilion (2019); RM14.26 bilion (2020); RM5.12 bilion (2021); RM400.39 juta (2022); RM8.09 bilion (2023); RM715.95 juta (2024) dan RM1.57 bilion (2025),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.

Katanya, kadar pemulihan aset 1MDB ini dianggap pencapaian signifikan dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Pencapaian ini melebihi anggaran awal sebanyak 70 peratus atau RM30 bilion yang dinyatakan dalam beberapa laporan.

“Kejayaan ini merupakan antara kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi skandal jenayah kewangan berskala besar,” katanya.

Sementara itu Azam berkata, empat daripada 12 lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan skandal 1MDB adalah tulen ke­rana ia memiliki sijil pengesahan daripada pakar antarabangsa.

Katanya, empat lukisan itu yang dibawa pulang dari New York, Amerika Syarikat (AS) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara seawal minggu depan untuk pemuliharaan serta pameran kepada orang awam.

“Lukisan berkenaan kini ditempatkan sementara di Ibu Pejabat SPRM dalam keadaan terkawal sebelum dipindahkan ke galeri tersebut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×