Industri insurans am berkembang 4.8 peratus, keuntungan pengunderaitan RM1.2 bilion

Industri insurans am berkembang 4.8 peratus, keuntungan pengunderaitan RM1.2 bilion

Pengerusi PIAM, Ng Kok Kheng (kiri) dan Chua Kim Soon (kanan) ketika sesi Taklimat General Insurance Association of Malaysia (PIAM) Prestasi Insurans Am dan Kemaskini Utama Industri di Holiday Inn Bangsar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri insurans am Malaysia catat Premium Bertulis Kasar (GWP) sebanyak RM24.2 bilion pada 2025, meningkat 4.8 peratus daripada RM23.1 bilion pada 2024. 

Keuntungan pengunderaitan industri juga meningkat kepada RM1.2 bilion, iaitu pertambahan RM125 juta tahun ke tahun, manakala nisbah gabungan keseluruhan kekal stabil pada sekitar 93 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, insurans motor, yang kekal sebagai segmen terbesar dengan sumbangan 45.2 peratus daripada jumlah premium, masih mencatat kerugian pengunderaitan sebanyak RM289.3 juta dengan nisbah gabungan pada 103 peratus. 

“Sebaliknya, segmen bukan motor khususnya insurans Kebakaran, Marin, Penerbangan & Transit (MAT) serta Kemalangan Diri (PA) telah menyumbang secara positif kepada prestasi keseluruhan industri,” katanya dalam sesi taklimat media di sini. 

Selain itu, jelasnya, insurans kebakaran mencatat keuntungan pengunderaitan sebanyak RM700.8 juta dengan nisbah gabungan 69.5 peratus.

“Peningkatan prestasi pengunderaitan ini merupakan satu pencapaian operasi industri dan mencerminkan 

keupayaan sektor untuk menyerap peningkatan kos tuntutan, sambil terus melindungi jutaan pemegang polisi. 

“Seiringan dengan usaha memperkukuh daya tahan industri, tumpuan kami kekal kepada pembangunan ekosistem perlindungan yang lebih menyeluruh bagi memastikan pemulihan lebih pantas kepada rakyat Malaysia, merangkumi perlindungan aset, sumber pendapatan dan operasi perniagaan dengan sokongan penanggung insurans serta penanggung insurans semula,” katanya.

Dalam pada itu, Chua berkata, gabungan prestasi insurans motor, kebakaran dan PA menyumbang kepada pertumbuhan 6.1 peratus dalam premium industri bagi 2025. 

“Insurans Motor kekal sebagai segmen perniagaan terbesar industri, dengan sumbangan RM10.9 bilion atau 45.2 peratus daripada portfolio. 

“Segmen ini mencatat pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun pada 2025, berbanding 6.7 peratus pada 2024,” katanya. 

Selain itu, insurans kebakaran merupakan segmen perniagaan kedua terbesar industri, mencatatkan sumbangan RM5.0 bilion atau 20.9 peratus daripada portfolio. 

Segmen ini merekodkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun pada 2025, berbanding 5.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Malah, segmen motor terus mencatat kerugian pengunderaitan sebanyak RM289.3 juta dengan nisbah gabungan 103 peratus menunjukkan bayaran tuntutan melebihi premium yang dikutip. 

“Walaupun terdapat peningkatan sebanyak 0.7 mata berbanding 2024 hasil disiplin pengunderaitan yang lebih ketat, tekanan kos dalam segmen kereta persendirian terus menekan dana terkumpul yang menanggung tuntutan pemegang polisi.

“Kekerapan tuntutan kekal tinggi melebihi tujuh peratus pada 2025. Sebagai segmen dengan jumlah kenderaan tertinggi, model seperti Proton X50 dan X70 menunjukkan kekerapan tuntutan yang lebih tinggi dalam kalangan pemandu muda,” katanya.

Selain itu nilai kos tuntutan kereta persendirian meningkat kepada RM8,831 pada 2025, didorong inflasi kos alat ganti, khususnya bagi Proton Saga dan Proton X50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×