TAIPEI: Presiden Taiwan, Lai Ching-te, menyatakan pulau itu mempunyai ‘hak untuk berinteraksi dengan dunia’ selepas pulang daripada lawatan ke Eswatini, satu-satunya sekutu diplomatik Taipei di Afrika.
Ching-te membuat kenyataan itu kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Taipei sebaik tiba, selepas penerbangannya menaiki pesawat milik raja Eswatini semalam.
“Rakyat Taiwan adalah rakyat dunia, rakyat Taiwan mempunyai hak untuk berinteraksi dengan dunia,” kata Ching-te.
Beliau terbang ke Eswatini pada Sabtu menggunakan pesawat yang sama.
Lawatan asalnya ke negara itu, yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 26 April bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-40 pemerintahan Raja Mswati III serta hari lahirnya yang ke-58, ditangguhkan selepas Seychelles, Mauritius dan Madagascar menarik balik permit penerbangan susulan tekanan yang didakwa berpunca daripada China.
China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan menentang penyertaan pulau yang ditadbir sendiri itu dalam organisasi antarabangsa serta hubungan dengan negara lain.
Amerika Syarikat (AS) mengecam apa yang disifatkan sebagai ‘kempen intimidasi’ China selepas perjalanan pertama Ching-te, ditangguhkan.
Bagaimanapun, kenyataan itu ditolak oleh Menteri Luar China yang menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.
Eswatini, sebuah kerajaan kecil yang dahulunya dikenali sebagai Swaziland, merupakan salah satu daripada 12 negara yang masih mengiktiraf Taiwan. China telah memujuk negara-negara lain untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan pulau yang memerintah sendiri itu. – AFP










