PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) akan menilai semula keikhlasan UMNO dalam menjalin persahabatan ketika membentuk Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah itu diambil susulan tindakan UMNO yang mengkhianati pengorbanan Amanah sebelum ini, termasuk pemberian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2023.
Menurut beliau, UMNO sepatutnya sedar bahawa rakyat kini melihat perpaduan sebagai jalan terbaik untuk memastikan pentadbiran negara berjalan lancar dan bukannya menerusi perpecahan.
“Rakyat sudah muak dengan politiking yang hanya berebut kuasa. Kita sepatutnya memastikan negara bergerak ke arah konsensus dengan mengajak semua pihak memberi tumpuan kepada kepentingan negara.
“Namun sebaliknya berlaku di Negeri Sembilan yang bukan sekadar ‘tebuk atap’ tetapi ‘tebuk bahtera’. Sudah tentu Amanah akan menilai semula keikhlasan rakan yang sebelum ini kami berikan kerusi DUN Lenggeng, namun UMNO bertindak sebaliknya,” katanya semalam.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan bukan hanya untuk merampas pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH), namun 14 ADUN Barisan Nasional (BN) hanya ingin menukar Menteri Besar susulan hilang kepercayaan.
Setakat ini hanya tinggal seorang sahaja calon Menteri Besar yang boleh diketengahkan PH sekiranya mereka ingin menggantikan Datuk Seri Aminuddin Harun untuk jawatan berkenaan iaitu ADUN Kelawang dari Amanah, Datuk Bakri Sawir. – UTUSAN










