PELAKSANAAN Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula pada 15 April lalu dan hadir dalam konteks yang jelas kerana tekanan krisis tenaga global yang memaksa kerajaan mengurangkan pergerakan fizikal.
Namun begitu, apabila dasar ini diteliti dari sudut logistik dan pengangkutan, memperlihatkan gambaran sebenar adalah jauh lebih berlapis. Apa yang kelihatan sebagai penjimatan tenaga di satu sisi, sebenarnya mengalih tekanan ke sisi lain sistem.
Walaupun penjawat awam bekerja dari rumah, operasi organisasi tetap memerlukan aliran fizikal seperti dokumen, peralatan dan sokongan teknikal. Ini bermakna aktiviti logistik tidak hilang, sebaliknya menjadi lebih tersebar dan sukar diselaraskan. Kos penghantaran dalaman mungkin meningkat, manakala masa respons boleh terjejas jika sistem tidak disusun semula dengan baik.
Dari sudut tenaga, hujah utama BDR ialah pengurangan penggunaan bahan api melalui pengurangan perjalanan. Namun, realitinya lebih kompleks. Penjimatan di sektor pengangkutan mungkin diimbangi oleh peningkatan penggunaan elektrik domestik. Dengan lebih ramai bekerja dari rumah, penggunaan pendingin hawa, peranti digital dan sambungan internet akan meningkat secara agregat. Tanpa penyelarasan dasar tenaga dan mobiliti, keuntungan bersih mungkin tidak sebesar yang dijangkakan.
Satu lagi isu penting ialah ketidaksamaan geografi. Infrastruktur pengangkutan dan logistik di Malaysia tidak seragam. Kawasan bandar utama mempunyai rangkaian rel dan penghantaran yang relatif cekap, manakala kawasan luar bandar masih bergantung kepada sistem yang lebih terhad.
Dalam keadaan ini, pelaksanaan BDR boleh memperbesar jurang sedia ada. Pekerja di kawasan kurang infrastruktur mungkin menghadapi kos logistik yang lebih tinggi serta akses perkhidmatan yang lebih rendah.
Selain itu, sektor ekonomi tidak formal seperti e-hailing turut terkesan. Pengurangan perjalanan harian akan mengurangkan permintaan perkhidmatan ini. Walaupun sebahagian pemandu boleh beralih kepada penghantaran, peningkatan bilangan pemain dalam sektor yang sama akan menekan pendapatan. Ini menimbulkan persoalan tentang daya tahan tenaga kerja dalam sektor mobiliti fleksibel.
Akhirnya, BDR bukan sekadar dasar kerja tetapi intervensi besar dalam sistem mobiliti negara. Data menunjukkan sistem pengangkutan Malaysia dibina untuk menyokong jutaan pergerakan harian. Apabila aliran ini berubah secara mendadak, keseluruhan ekosistem turut terjejas. Tanpa perancangan yang teliti menyebabkan risiko ketidakseimbangan antara permintaan dan kapasiti akan meningkat.
Pelaksanaan BDR sebagai respons kepada krisis tenaga adalah langkah yang rasional tetapi implikasinya terhadap logistik dan pengangkutan memerlukan perhatian serius.
Penurunan mobiliti harian, peningkatan penghantaran, perubahan pola trafik dan tekanan terhadap operator adalah realiti yang tidak boleh diabaikan. Dasar ini hanya akan berjaya jika disokong oleh strategi menyeluruh yang memahami sistem mobiliti sebagai rangkaian yang saling bergantung, bukan komponen yang boleh diubah secara berasingan.-UTUSAN
DR. IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam











