Golongan berisiko perlu dibenar dapat vaksin secara 'walk-in', gesa Kit Siang - Utusan Malaysia

Golongan berisiko perlu dibenar dapat vaksin secara ‘walk-in’, gesa Kit Siang

LIM Kit Siang (kanan) dan Dzulkefly Ahmad (dua kanan) mendengar taklimat daripada petugas PPV Dewan Serbaguna Taman Universiti ketika mengadakan lawatan, di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta mewujudkan satu sistem yang membolehkan individu tergolong dalam golongan berisiko termasuk mereka yang berusia lebih 60 tahun mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 secara ‘walk-in’.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, langkah itu telah dimulakan beberapa negara lain yang mana ia sekali gus dapat mempercepat proses pemberian vaksin kepada golongan sasar.

Katanya, negara kini sedang berperang dengan pandemik Covid-19 dan proses pemberian vaksin perlu dipercepat.

“Di negara-negara lain, kumpulan yang berisiko seperti golongan lebih 60 tahun boleh terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa perlu membuat sebarang pendaftaran untuk terus diberi vaksin, jadi saya berharap kita juga akan boleh sampai ke peringkat itu.

“Kami sudah pasti sangat berpuas hati dengan persiapan yang dibuat di PPV, tetapi secara keseluruhannya di peringkat nasional, kita perlu percepat proses vaksinasi jika mahu menang peperangan melawan pandemik ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Serbaguna Taman Universiti, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad pula berkata, kerajaan negeri diharap dapat meningkatkan bekalan vaksin Covid-19 di Johor kerana setakat hari ini, jumlah penerimanya masih berada pada tahap rendah.

“Pendaftaran mendapatkan vaksin di Johor adalah seramai 1.7 juta orang daripada keseluruhan 2.9 juta orang yang disasarkan. Namun, daripada jumlah itu, tidak sampai 10 peratus yang sudah mendapat vaksin sepenuhnya iaitu dua dos.

“Ini menunjukkan proses suntikan agak perlahan dan kita mengharapkan ia dapat dipercepat seperti dilakukan di Selangor dan Pulau Pinang agar imuniti kelompok dapat dicapai segera,” ujarnya.

Tambah beliau, statistik di peringkat antarabangsa menunjukkan negara yang menyaksikan antara 40 peratus hingga 50 peratus penduduknya telah divaksin berjaya mengawal penularan pandemik itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×