2 maut, kereta rempuh orang ramai - Utusan Malaysia

2 maut, kereta rempuh orang ramai

ANGGOTA polis berkawal di lokasi kejadian di Leipzig. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Sebuah kereta merempuh orang ramai di pusat bersejarah bandar Leipzig di timur Jerman pada Isnin, menyebabkan dua orang maut dan beberapa lagi cedera, menurut pihak berkuasa.

Pemandu lelaki Jerman berusia 33 tahun itu telah ditahan di tempat kejadian dan pihak berkuasa berkata motifnya masih belum jelas.

Jerman telah digemparkan oleh beberapa siri serangan rempuhan kenderaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,.

Ia pernah berlaku di pasar Krismas pada 2024 di Magdeburg dan di Berlin serta Munich.

Dalam insiden terbaru di Leipzig, sebuah kereta Volkswagen Taigo meluncur dari sebuah dataran utama di bandar lama ke laluan pejalan kaki yang sibuk, merempuh orang ramai sejauh ratusan meter.

Seorang penduduk Leipzig yang berasal dari Libya, Hosam Algaer memberitahu AFP, beliau hampir dilanggar kenderaan itu sebelum mengejarnya untuk membantu mangsa cedera sehingga kereta itu berhenti.

“Kereta itu membrek, ia berhenti. Ada seorang wanita di atasnya dan dia akhirnya berada di bawah kereta, mati. Dia jatuh dari bumbung.

“Nasib baik keadaan tidak lebih teruk kerana jeritan orang ramai. Orang ramai cepat faham bahawa seorang ‘gila’ sedang memandu dan mereka lari,” katanya.

Michael Kretschmer, pemimpin negeri Saxony di mana Leipzig terletak berkata, dua orang terbunuh.

“Kami akan lakukan segala yang mampu untuk menyiasatnya dengan cepat dan menyeluruh. Undang-undang akan bertindak dengan tegas,” ujarnya.

Walaupun pihak berkuasa tidak membuat kesimpulan muktamad mengenai motif, beberapa pihak menyifatkan insiden itu sebagai ‘Amokfahrt’ iaitu istilah Jerman yang merujuk kepada tindakan mengganas secara tiba-tiba yang dikaitkan dengan gangguan mental.

“Jenis tindakan ini sering dikaitkan dengan ketidakstabilan psikologi,” kata Menteri Dalam Negeri Saxony, Armin Schuster.

Polis berkata lewat Isnin bahawa setakat pengetahuan semasa, tiada asas untuk menganggap motif politik atau agama.

Seorang wanita berusia 63 tahun dan seorang lelaki berusia 77 tahun, kedua-duanya warga Jerman, maut dalam kejadian itu.

Sekurang-kurangnya dua orang cedera parah dan kira-kira 20 lagi cedera ringan, menurut perkhidmatan bomba. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN